PVTMS, 9 Briged bekerjasama beri bantuan kenderaan jenazah

0

SIBU: Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) bekerjasama dengan Markas Briged Kesembilan (9 Briged) memberi bantuan kenderaan jenazah kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang meninggal dunia.

Presidennya, Thomas Ling berkata kerjasama itu tercapai hasil pertemuan dan perbincangan persatuan dengan Panglima ATM serta Ketua Staf Markas Briged Kesembilan Infantri Malaysia.

“Markas Briged Kesembilan tiada halangan dan mengikut kemampuan semasa memandangkan di Markas Briged Kesembilan hanya mempunyai sebuah van jenazah,” katanya di sini semalam.

Thomas berkata, perkhidmatan itu buat permulaan hanya tertumpu kepada veteran ATM di kawasan Sibu sahaja.

Bagi keluarga veteran ATM yang memerlukan perkhidmatan ini boleh menghubungi Ketua Staf Markas Briged Kesembilan, Lt Kol Khairuddin Zakaria melalui talian 084-317299/347864 sambungan 210.

Selain itu, mereka juga boleh menghubungi pejabat PVTMS melalui talian 084-348872/349755 untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Thomas menggesa veteran ATM masih belum menjadi ahli-ahli persatuan agar berbuat demikian dengan segera bagi membolehkan membantu mereka apabila diperlukan.

“Jangan menunggu saat-saat akhir baharu hendak menjadi ahli kerana perkara seperti ini telah banyak berlaku melibatkan veteran ATM,” katanya.