Remaja lelaki dilapor hilang ditemui mati

0

SIBU: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang oleh ibunya sejak Rabu lalu ditemui mati dalam longkang di Jalan Tong Sang, di sini awal pagi Khamis lalu.

Mangsa dikenali Rajis Melena, 21, dikenal pasti oleh ibunya, 56, setelah membuat pengecaman ke atas mayat seorang lelaki di bilik mayat Hospital Sibu jam 3 petang Jumaat lalu.

Sebelum itu, polis melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat hanya menemui sekeping MyKad dan sekeping cukai jalan motosikal milik seorang lelaki dikenali sebagai Dominic, 22.

Polis kemudian memaklumkan keluarga Dominic yang berada di Song namun apabila ahli keluarganya melakukan pengecaman mayat mendapati bukan Dominic tetapi Mykad dan cukai jalan motosikal adalah milik Dominic.

Sebelum itu, Dominic turut membuat laporan polis jam 1.30 petang malam Khamis lalu mendakwa dirinya dipukul oleh seorang lelaki tidak dikenali dengan menggunakan objek keras ketika berada di Lebuh Tanah Mas, jam 10 malam sebelumnya.

Dominic mengalami kecederaan di sebelah kening kiri dan pengsan selepas dipukul.

Dominic juga melaporkan kehilangan kad pengenalan diri, cukai jalan motosikal dan sekeping kad ATM selepas insiden itu.