Sebanyak 26 balai bomba cadangan pembinaan RMK11

0

BINTULU: Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat baharu di Tanjung Kidurong, Sebiew dan Sebauh di Bintulu dimasukkan dalam senarai Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) termasuk Sungai Asap dan Belaga daripada 26 buah balai keseluruhan dalam cadangan pembinaan balai baharu di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Sadique berkata keperluan-keperluan peralatan kebombaan di bandar Bintulu perlu dinaik taraf dan diberi keutamaan supaya dapat bersiap sedia sesuai dengan keadaan bandar minyak dan gas itu menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya, bagi kawasan Bintulu peralatan kebombaan semua akan dihantarkan dan diagihkan ke Bintulu dan Tatau serta Sebauh tahun ini membabit sembilan aset ataupun peralatan kebombaan yang diperuntukkan dan diluluskan untuk perolehan 2014.

“Peralatan itu membabitkan lori tiga tan, Prime Mover Water Tanker, Fire Rescue Tender, kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS), pacuan empat roda toyota Hilux, bot penyelamat, Fire Fighting Portable Pump, Forest Fire Pump Set dan Breathing Apparatus Compressor yang akan ditempatkan di Bintulu dan Tatau.

“Sebuah bot penyelamat masing-masingnya ditempatkan di Tatau dan Samalaju serta dua bot untuk Bintulu, satu bot lagi di Sebauh. Dua lagi bot ditambah untuk Tatau dan Samalaju.

“Dua buah bot baharu akan tiba juga ditempatkan di Bintulu dan satu bot lagi di Sebauh,” katanya pada sidang media menghadiri taklimat dan mesyuarat yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dipengerusikan Residen Bahagian Bintulu, Muhamad Yakup Kari di sini semalam.

Katanya, 13 aset diagihkan di Bintulu bernilai RM4,391,970 juta dan keseluruhan peralatan perolehan Sarawak diselesaikan pengagihan tahun ini sebanyak 88 aset iaitu sembilan jenis aset tersebut bernilai RM28,918,440 juta.

“Senarai baharu 26 aset diminta diluluskan dalam RMK10 telah selesai dan dalam pelaksanaan projek sedia ada ialah Balai Bomba dan Penyelamat Song-Kapit yang mana jadual kerja adalah 40 peratus dan dalam pembinaan dijangka selesai pada Januari 2016 bernilai RM15.5 juta,” jelasnya.

Selain itu, projek baharu membabitkan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah Miri bernilai RM5.5 juta, Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju (RM4.5 juta) sekarang dalam proses penyediaan dokumen tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan diharap penyediaan tapak dapat diselesaikan oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) tahun ini.

“Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis Sarikei bernilai RM5.5 juta sekarang dalam proses penyelarasan semula tapak.

“Manakala bina semula serta naik taraf kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu dibangkitkan oleh Tiong di Parlimen bernilai RM12 juta kini dalam proses reka bentuk dan penetapan perunding projek oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata, pangkalan Bomba Kuching bernilai RM5 juta dan proses perolehan tapak tanah dan Balai Bomba dan Penyelamat Daro-Mukah (RM6.5 juta) juga dalam proses penetapan perunding projek oleh KPKT.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha dan Pengarah KPKT Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Nor Hisham Mohamad serta Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu, Unjar Lum.