Walau sibuk banjir, anggota JPAM sanggup menderma darah

0

BETONG: Usaha Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Betong dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Betong menganjurkan kempen Derma Darah sebagai satu langkah membantu menambah bekalan darah hospital terbabit.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Betong, Azamshah Apareal berkata pembabitan orang ramai menyertai kempen itu amatlah dialu-alukan dan menghargai usaha pihak terbabit menjayakan bersama kempen tersebut.

“Kejayaan kami menganjurkan kempen ini adalah kerjasama tidak berbelah bahagi Hospital Betong yang sentiasa memberi layanan terbaik kepada orang ramai menyertai kempen dan kerjasama anggota JPAM Betong yang turut sama menyertainya.

“Tanggungjawab kami berikan merupakan nadi utama penubuhan JPAM dan anggota sentiasa turun padang apabila diperlukan,” katanya ditemui pada Kempen Derma Darah di Pejabat JPAM Betong di sini semalam.

Menurutnya, kempen itu diteruskan dari semasa ke semasa apabila ada keperluan mendesak dan tempoh untuk setiap anggota sudah mencukupi.

Apapun kempen kali ini hanya mampu memperolehi 10 pain darah walaupun dirancang masa singkat berikutan kesibukan membantu keperluan banjir yang melanda beberapa kawasan di sini.

Dalam pada itu, kebanyakan daripada penderma tidak dapat berbuat demikian kerana mengalami tekanan darah tinggi dan tempoh menderma belum mencukupi melayakkan mereka menderma.

“Kebanyakan mereka pulang hampa kerana masalah itu. Kalau tidak mungkin kita dapat mengumpul darah dalam kuantiti yang berganda atau lebih,” katanya.

Selain itu, anggota mereka yang merupakan penderma tegar kebanyakannya bertugas di luar kawasan menyebabkan mereka tidak dapat menderma kali ini.

Kempen diadakan mulai jam 8 pagi dan berakhir sekitar 12 tengah hari merupakan yang pertama tahun ini dan sentiasa menjadi keutamaan kepada anggotanya yang mempunyai jaringan kerjasama dengan pelbagai jabatan untuk membantu masyarakat.

Turut serta dalam kempen tersebut ialah Azamshah sendiri selain Penolong PPAD Betong, Desem Samuel.