1,050 batang kayu balak bernilai RM300,000 dirampas

0

TUMPAS: Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perhutanan Sarawak merampas kayu balak bernilai lebih kurang RM300,000 di Sibu.

KUCHING: Sebanyak 1,050 batang kayu balak bernilai lebih kurang RM300,000 dirampas dalam Ops Landai yang dijalankan oleh Pasukan Polis Marin bersama Jabatan Hutan Sarawak di tebing Batang Lebaan, Paradom di Sibu, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima ACP Kalai Chelvan Nadarajan berkata, hasil daripada maklumat selepas tinjauan udara oleh Unit SADU Jabatan Hutan Sarawak, sepasukan pegawai dan anggota Polis Marin diketuai ASP Muhammad Salam bersama enam pegawai Jabatan Hutan Sibu melakukan serbuan ke atas sebuah kilang kayu yang terletak tepi sungai.

Hasil pemeriksaan, pasukan telah menemui 17 longgokan kayu balak pelbagai saiz yang dipercayai diperolehi secara haram dan diproses menjadi papan.

Papan itu dipercayai akan dijual di pasaran tempatan dan luar negara.

“Sebahagian daripada kayu balak itu iaitu kira-kira 652 batang adalah jenis belian yang bernilai tinggi di pasaran manakala selebihnya 398 batang pula jenis-jenis lain,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kesemua balak itu dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Hutan Sibu untuk tindakan selanjutnya.

Laporan polis juga telah dibuat.