3,400 peserta jayakan ‘Colour Rush 3.0’ di Miri

0

MULA: Peserta melontar serbuk warna antara satu sama lain sebelum memulakan larian amal Colour Rush semalam.

MIRI: Aktiviti larian amal mengumpul dana membantu pesakit kanser kanak-kanak, ‘Colour Rush 3.0’ yang diadakan pagi semalam berjaya menarik penyertaan lebih 3,400 orang.

Datuk Bandar Miri Lawrence Lai ditemani Presiden SCCS Utara Sarawak merangkap pengerusi penganjur Jocelyn Hee serta Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau Datuk Sebastian Ting hadir melepaskan peserta.

Mereka berkumpul seawal jam 5.30 pagi di pekarangan Stadium Tertutup Miri untuk beramai-ramai menjayakan larian sejauh lima kilometer di sekitar pusat bandar raya.

Sebelum dilepaskan pada jam 6.30 pagi, semua peserta melontar serbuk warna antara satu sama lain.

Larian sama turut diadakan di Le Park Kuching semalam dan di Town Square Sibu pada 8 Februari.

Seramai 10,000 peserta ketiga-tiga kawasan itu terlibat dalam aktiviti anjuran Pertubuhan Pesakit Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS).

SCCS menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 hasil aktiviti ini.