Bintulu bakal miliki lima balai bomba kategori D

0

BINTULU: Bahagian Bintulu bakal mempunyai lima lagi balai bomba kategori D iaitu di kawasan Belaga, Sebauh, Tanjung Kidurong, Sebiew dan Sungai Asap, kata Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Farhan Sufyan Borhan.

Jelasnya, cadangan mengenai pembinaan lima balai bomba itu telah dikemuka kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pembinaannya akan dilaksana di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam tempoh lima tahun dari 2016 hingga 2020.

“Balai bomba dan penyelamat di Bintulu perlu ditambah dari semasa ke semasa memandangkan ia menyumbang kepada lapan peratus panggilan kebakaran di negeri ini sepanjang 2014,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pengoperasian Balai Bomba dan Penyelamat Tatau yang diadakan di Jalan Bintulu-Tatau, berhampiran daerah Tatau di sini semalam.

Katanya peratusan panggilan kebakaran itu dikategori sebagai membimbangkan bagi sebuah bandar perindustrian dan merupakan antara wilayah tengah penting di Sarawak.

Farhan menjelaskan, pada masa sekarang tapak pembinaan bagi kelima-lima balai bomba dan penyelamat itu sudah dikenal pasti dan hanya menunggu keputusan KPKT bagi menentukan tempoh sebenar sebelum bermula kerja pembinaan serta pemilihan kontraktor.

Jelasnya, balai bomba kategori D ini merupakan pertama dibina di negeri ini dan dijangka membantu menyelamat nyawa dan harta benda khususnya di kawasan pedalaman.

“Secara umumnya balai bomba kategori D mempunyai enam anggota terlatih, 10 pegawai bantuan dan sebuah jentera,” katanya.

Bercakap mengenai kos pembinaannya, katanya ia sekitar RM1.1 juta memandangkan ia pejabat lama Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Tatau yang hanya memerlukan proses pembesaran serta pengubahsuaian mengikut spesifikasi standard balai bomba dan penyelamat kategori D.

Jelasnya, bagi Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju pula, pada masa sekarang, ia ditempatkan di tapak sementara, menunggu balai bomba sebenar siap nanti.

“Anggaran kos pembinaan sekitar RM5 juta dan ia turut mempunyai jumlah anggota sama serta dilengkapisebuah jentera bagi balai bomba kategori D,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa balai bomba itu juga akan beroperasi selama 24 jam sebagaimana balai bomba di kawasan lain sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk di kawasan Tatau.

“Selain terlibat dalam kes kebakaran, mereka turut terlibat dengan kes banjir, kemalangan dan sebagainya yang memerlukan bantuan,” katanya.

Pada masa sekarang katanya, talian tetap balai bomba itu ialah 086-584208 dan penduduk sekitar kawasan Tatau boleh menghubungi secara terus talian itu jika berlaku sebarang kes kecemasan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan) Datuk John Sikie Tayai berkata pasukan bomba sukarela harus diwujudkan di setiap kawasan yang agak jauh dari balai bomba serta yang sukar dihubungi khususnya di kawasan Sangan, Muput, Nanga Tau, Rumah Ado Ulu Kakus serta beberapa kawasan lain yang jauh dari balai bomba sekitar Tatau.

“Bagi menjayakan usaha pengwujudan pasukan bomba sukarela itu, saya menyarankan agar pasukan bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Tatau membantu penduduk setempat menubuhkan sendiri pasukan bomba sukarela berkenaan,” jelasnya.

Katanya, lebih penting ialah pasukan bomba harus melatih serta memberi tunjuk ajar kepada ahli sukarela mengenai asas kebombaan dan penyelamatan terutama ketika berhadapan situasi kebakaran, banjir dan sebarang bentuk musibah.

Pegawai Tadbir Daerah Kecil Tatau Nyurak Keti, Penghulu Valerie Manyi dan Penghulu Sanok Magai antara hadir pada majlis itu.