Diancam tanah runtuh

0

RUNTUH: Keadaan tanah runtuh di bahagian belakang Rumah Ali Krangan Tinggi, Ulu Krian Saratok.

Tanah runtuh tahap bahaya, 75 penduduk Rumah Ali Krangan Tinggi, Ulu Krian, Saratok dipindahkan.

Oleh Kepu Sidi //

SARATOK: Seramai 75 penghuni Rumah Ali Krangan Tinggi, Ulu Krian di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas berlaku tanah runtuh tahap bahaya di belakang rumah panjang mereka semalam.

Jurucakap jawatankuasa bencana ketika dihubungi berkata, semua penghuni dipindah ke kediaman sementara berdekatan rumah panjang sedia ada.

Kata jurucakap itu lagi, tanah runtuh berlaku selepas hujan lebat turun tidak berhenti-henti sejak sehari sebelum kejadian.

“Terdapat sebanyak lima pintu rumah panjang berisiko ditimpa tanah runtuh. Penduduk terpaksa dipindah serta-merta ke tempat selamat,” katanya.

Menurut jurucakap itu lagi, jawatankuasa bencana menerima laporan

mengenai kejadian itu sekitar jam 11.30 pagi tadi (semalam).

“Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilapor dan semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, keadaan banjir yang dilaporkan berada pada tahap berjaga-jaga di beberapa kawasan seperti Nanga Budu dan sekitarnya dan setakat berita ini ditulis, air semakin surut.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir tetap diingatkan supaya meningkatkan tahap berjaga-jaga terutama pada waktu malam.

“Tinggal segera kediaman jika berlaku sebarang bencana seperti air naik mendadak atau kejadian tanah runtuh,” katanya.