Golongan belia perlu dibentuk dengan baik, kata Fatimah

0

KUCHING: Golongan belia perlu dibentuk dengan baik kerana mereka merupakan tunjang kepimpinan negara pada masa depan, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Menurutnya, sehubungan itu, golongan belia harus melengkapi diri masing-masing dengan segala pengetahuan kepimpinan.

“Sekiranya tiada sebarang usaha dilakukan oleh golongan belia untuk mengambil peranan serta tanggungjawab sebagai pemimpin maka negara akan ketandusan barisan kepimpinan berwibawa yang dapat memainkan peranan di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Kem Kepimpinan Belia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya di sini semalam.

Fatimah berkata sokongan semua pihak termasuk sektor korporat diperlukan dalam menganjurkan program berbentuk kepimpinan bagi memperkasakan golongan itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Emart dengan penganjuran kem ini dan berharap ia dapat diperluaskan ke sekolah lain pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa sama beliau menasihati golongan belia agar mempunyai jati diri sebagai rakyat Malaysia dan bersikap terbuka untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa.

Selain itu, katanya ciri kreatif dan inovatif juga perlu dititikberatkan untuk memacu pembangunan sesebuah negara yang harus ada pada diri seorang pemimpin.

“Kesemua ini memerlukan pendedahan iaitu menerusi program atau kem kepimpinan, justeru saya berharap lebih ramai sektor dan badan korporat menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan menganjurkan program seumpama ini,” ujarnya.

Kem anjuran Emart itu disertai 222 pelajar tingkatan satu hingga enam SMK Matang Jaya.

Hadir sama Pengetua SMK Matang Jaya Zakiah Abdul Hamid dan kakitangan pengurusan Kumpulan Emart.