Kuasai banyak bahasa: Abg Johari

0

SUMBANGAN: Abang Johari menandatangani replika cek sambil disaksikan Ahmad (kanan).

Bahasa Inggeris, Mandarin diberi perhatian untuk bersaing di peringkat global

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Generasi muda sekarang perlu bijak menguasai banyak bahasa untuk memudahkan komunikasi bersama orang asing, kata Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata penggunaan bahasa Inggeris dan Mandarin ketika ini amat diberi perhatian agar generasi muda dapat bersaing di peringkat global.

Selain itu menurutnya, penguasaan lebih daripada satu bahasa juga penting untuk memberi kelebihan kepada Malaysia terutama berkomunikasi dengan negara utama dunia selain dalam perniagaan.

“Bermula sekarang, kita perlu melahirkan pelajar peringkat global yang dapat mengadaptasi dunia moden ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Alumni SMK Tun Abang Haji Openg di sini, malam kelmarin.

Tambahnya, ekonomi negara ketika ini bergantung kepada negara peneraju ekonomi seperti China dan Eropah yang mengutamakan bahasa masing-masing.

Sementara itu beliau yang juga Menteri Perumahan berkata, majlis tersebut mampu menyediakan platform kepada bekas guru dan pengetua untuk kembali bertemu dan mengeratkan perhubungan.

“Sekolah ini (SMK Tun Abang Haji Openg) berkembang setiap tahun dan berjaya mentransformasikan mutu pendidikan.

“Sebelum ini, sekolah ini dikenali sebagai tempat budak nakal namun sekarang ramai pelajar bijak dapat dilahirkan,” ujarnya.

Abang Johari turut menyampaikan geran berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tun Abang Haji Openg untuk pelaksanaan aktiviti dan program yang diterima Pengerusi Protem Alumni SMK Tun Abang Haji Openg Ahmad Abang.