Lapan diberkas bantu siasatan kes tembakan

0

BANTU SIASATAN: Suspek diberkas dibawa keluar dari Balai Polis Sentral mendapatkan perintah reman.

SIBU: Sehingga kini polis memberkas lapan orang lelaki bagi membantu siasatan kes melepaskan tembakan di dua buah pusat membeli-belah di sini.

Lima suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan di sebuah rumah di Jalan Engkala, di sini sekitar jam 2 petang kelmarin.

Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku melepaskan tembakan menggunakan senapang patah.

Selain terdapat kesan luka di tapak tangan kiri akibat terkepit bahagian klip semasa melepaskan tembakan.

Difahamkan suspek datang menggunakan motosikal seorang diri ke sebuah pusat membeli-belah di Jalan Sanyan di sini sebelum melakukan perbuatan tersebut.

Sebaik melepaskan tembakan, suspek terus melarikan diri sebelum melepaskan satu lagi das tembakan di sebuah pusat membeli-belah di Jalan Kampung Nyabor.

Dalam pada itu, polis turut menahan dua lagi suspek di sebuah rumah di Jalan Kapur di sini manakala seorang lagi diberkas di sebuah rumah Jalan Tiong Hua.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi mengesahkan penangkapan suspek di Jalan Engkala di sini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan hanya sebahagian mereka melakukan kesalahan tersebut.

“Kita terpaksa tahan semua mereka terlebih dahulu kerana tinggal bersama bagi memperhalus siasatan kes,” jelasnya.

Semalam, semua mereka diperintah menjalani tahanan reman selama lima hari.

Jumaat lalu, sekitar jam 12.30 tengah hari orang ramai yang berkunjung ke dua buah pusat membeli-belah di sini dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dipercayai tembakan.

Rentetan itu, sepasukan polis pergi ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan.