Masyarakat berharap harga barang akan turun

0

Mereka masih mempersoalkan mengapa penurunan harga minyak tidak selari dengan penurunan harga barang

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Penurunan harga runcit petrol RON95 dan RON97 serta diesel yang berkuat kuasa semalam (1 Februari) diharap dapat menyaksikan penurunan harga barang.

Meskipun penurunan harga runcit bahan api itu mendapat sambutan yang begitu baik daripada masyarakat, mereka masih melahirkan persoalan mengapa penurunan itu tidak selari dengan penurunan harga barang.

Rata-rata masyarakat yang ditemui semalam melahirkan persoalan tersebut ekoran penurunan sama yang berlaku pada bulan lalu, namun harga barang yang dijual masih kekal pada harga asal.

Menurut Nur Arina Saji, 27, penurunan harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel sepatutnya turut mempengaruhi penurunan harga barang.

“Ini adalah isu biasa. Bila harga petrol naik, harga barang juga dinaikkan serta-merta, malah dilakukan tanpa sebarang notis kenaikan.

“Tetapi apabila harga petrol turun, mengapa susah pula peniaga mahu melakukan perkara yang sama.

“Sepatutnya, ia harus dilakukan selari. Bila hari ini harga petrol turun, peniaga juga harus bersedia menurunkan harga barang dalam jangka masa terdekat dan bukannya mengekalkan harga pada kadar biasa ketika harga petrol masih mahal,” katanya.

Tambah Nur Arina, penurunan harga barang harus dilakukan secara adil kerana petrol dan bahan api merupakan keperluan asas semua orang.

Sementara itu, Ujang Hazman, 46, berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diharap bergiat aktif dan tegas ketika menjalankan operasi pemantauan kadar harga barang baharu sejajar dengan penurunan harga bahan api itu.

“Pemantauan daripada KPDNKK terhadap harga barang di seluruh tempat perniagaan barang terutama makanan harus dilakukan secara giat bagi mengelakkan masyarakat terus tertipu dengan manipulasi kadar harga barang.

“Apabila pengumuman mengenai penurunan harga petrol dan diesel dilakukan, maka peniaga juga harus melakukan perkara yang sama dengan menurunkan harga barang untuk kebaikan bersama,” jelasnya.

Menurut salah seorang peniaga makanan basah di bandar raya ini, Rachel Pang, 45, dia tiada masalah untuk menurunkan harga barang jika diarahkan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun jelasnya, penurunan harga barang tidak boleh dilakukan secara mendadak memandangkan kebanyakan daripada barang yang dijual adalah masih stok lama.

“Sebagai peniaga, kami menyambut baik penurunan harga runcit petrol kerana ia akan memberi impak kepada perniagaan kami, khususnya.

“Ia bukan menjadi masalah bagi peniaga untuk menurunkan harga barang tetapi bergantung juga kepada harga yang ditawarkan oleh pembekal,” katanya.

Jelas Rachel, penurunan harga runcit petrol tidak memberi banyak kesan kepada para peniaga kerana hanya melibatkan sejumlah kecil dan kebanyakan barang keperluan yang dijual pada masa ini masih pada kadar berpatutan dan munasabah.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON95 sebanyak 21 sen kepada RM1.70 selitar dan RON97 sebanyak 11 sen kepada RM2 seliter berkuat kuasa mulai semalam.

Penurunan itu juga tidak ketinggalan membabitkan bahan api diesel iaitu sebanyak 23 sen kepada RM1.70 seliter.