Murid pindah rumah guru akibat banjir

0

ENGKILILI: Limpahan air Sungai Ulu Skrang di Daerah Kecil Engkilili akibat hujan lebat turun malam kelmarin menyebabkan beberapa rumah panjang, sekolah dan jalan raya di kawasan Skrang Tengah dinaiki air.

Menurut sumber, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tebat yang turut terjejas terpaksa dipindahkan sementara ke rumah guru yang terletak di atas bukit.

Sumber itu juga menyebut, kumpulan murid ini tidak mempunyai bekalan makanan mencukupi dan kekurangan tilam untuk dijadikan alas tidur.

Turut terjejas teruk ialah Rumah Brown, Lubok Tabau dan jalan raya masuk ke Murad dan jalan kampung Rumah Empading, Bunu yang ditenggelami air sehingga tidak dapat dilalui.

Aliran deras air dari Sungai Ulu Skrang itu turut merosakkan Jambatan Gantung Nanga Mejong yang merupakan jalan utama masuk ke rumah panjang itu.

Begitu juga dengan jalan raya utama berdekatan Rumah Christopher Pais hanya, sebahagian jalan raya itu dapat dilalui kereta ketika ini.

Tinjauan mendapati ketika berita ini ditulis, belum ada tanda air akan surut di Jalan Pais.

Jambatan yang menjadi laluan utama Rumah Empading Bunu turut ditenggelami air dan tidak dapat dilalui buat masa ini.

Bagaiamanapun tiada sebarang laporan kemalangan jiwa dalam kejadian ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada agensi berkaitan untuk menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir.

Sehubungan itu, Dr Rayong mencadangkan agar Balai Skim Skrang digunakan sebagai penempatan sementara mangsa banjir sekiranya memerlukan tempat tinggal kelak.

“Saya telah mengarahkan semua agensi terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) segera turun padang bagi memberi bantuan dan menyelamatkan mangsa banjir,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Beliau turut menasihati penduduk yang tinggal berdekatan tebing Sungai Ulu Skrang agar mengambil langkah berjaga-jaga pada musim tengkujuh ini.

“Jadi saya nasihatkan penduduk tinggal di tebing sungai agar sentiasa berjaga-jaga pada musim hujan ini.

“Begitu juga mangsa banjir yang mengalami kerugian akibat banjir ini agar melaporkannya kepada Unit Bencana Alam di Pejabat Daerah Lubok Antu,” katanya.