Ops Catut: Tiga kompaun dikeluarkan kepada peniaga

0

SIBU: Tiga kompaun dikeluarkan semasa Ops Catut dijalankan kelmarin sebagai bukti peniaga di sini mengamalkan amalan perniagaan bersih dan jujur.

Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sibu, Kasim Mana berkata, tiada notis pencatutan dikeluarkan semasa operasi dijalankan di Pasar Sentral Sibu.

“Ini menunjukkan kesedaran baik kalangan peniaga di sini dan kami menggesa mereka terus bekerjasama dengan kementerian untuk kebaikan bersama,” katanya.

Kasim berkata pihaknya tidak mengambil tindakan melulu terhadap peniaga sebaliknya memberi nasihat kepada mereka tetapi jika peniaga berdegil baharulah tindakan diambil.

Bagi mencapai matlamat itu, tiga kes kompaun adalah memadai untuk memastikan peniaga lain tidak melanggar undang-undang dan tidak meletakkan harga barang jualan dengan sesuka hati.

Berhubung tiga kompaun itu, dua daripadanya melanggar Akta Timbang dan Sukat 1972 dan melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Kasim menambah, pesalah dikompaun RM100 dan tiada barang disita dan kes lain dilaporkan adalah tidak menunjukkan tanda harga.

Bagi tujuan itu, beliau menjelaskan bahawa tanda harga adalah satu kemestian untuk semua peniaga.