Rakyat mahu harga barang turun serentak penurunan harga petrol

1

SIBU: Pengumuman penurunan harga pasaran minyak mendapat reaksi dan maklum balas berbeza masyarakat yang juga berharap pengumuman itu turut mempengaruhi penurunan harga barang keperluan lain.

Kakitangan awam, Muda Perenching berterima kasih atas penurunan harga minyak yang sudah pasti membantu meringankan beban kos hidup terutama golongan berpendapatan rendah.

“Penurunan harga minyak akan lebih bermakna jika peniaga juga menurunkan harga barang keperluan.

“Apabila harga minyak naik, harga barang pun ikut naik. Sebaliknya, harga minyak turun, harga barang tak pernah turun,” jelasnya.

Peniaga di Pasar Sentral Sibu Tie Siew Yiang melahirkan rasa bersyukur atas penurunan harga minyak yang telah membantu mengurangkan beban perbelanjaan bulanan keluarganya.

“Kenaikan harga minyak telah menyebabkan perbelanjaan bulanan keluarga sedikit terjejas. Diharapkan penurunan harga minyak kali ini dapat mengurangkan bebanan dihadapi,” ujarnya.

Harga runcit bagi petrol RON95 diturunkan 21 sen seliter kepada RM1.70 seliter manakala harga RON97 diturunkan sebanyak 11 sen seliter kepada RM2 seliter berkuat kuasa semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, harga runcit bagi diesel pula diturunkan sebanyak 23 sen seliter kepada RM1.70 seliter.