Tindakan tegas terhadap peniaga naikkan harga barang: KPDNKK

0

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersedia mengambil tindakan wajar dan tegas terhadap peniaga yang bertindak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

Perkara tersebut ditegaskan Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Abd Hafidz A. Rahim ketika diminta mengulas mengenai peniaga yang berdegil tidak menurunkan harga barang sejajar dengan penurunan harga runcit bagi petrol RON95 dan RON97 serta bahan api diesel yang berkuat kuasa semalam (1 Februari).

“Kita tidak boleh memaksa peniaga menurunkan harga barang dengan serta-merta ekoran penurunan harga runcit petrol dan diesel kerana sudah pasti stok yang masih ada pada mereka sekarang adalah stok lama (stok harga lama).

“Namun yang demikian, peniaga akan sentiasa dipantau oleh KPDNKK agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan sehingga mencecah harga yang tidak munasabah,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Malah Hafidz yang juga merupakan ketua pegawai penguat kuasa PPDNKK berkata, pihaknya sudah memulakan pemantauan harga barang terkawal yang proaktif secara berperingkat bermula bulan lalu.

“Kami (PPDNKK) sudah memulakan pemantauan proaktif secara berperingkat meliputi peringkat pengilang, pembekal, pemborong dan peniaga sejak 15 Januari lalu menerusi Ops Catut di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Pemantauan ini akan diadakan secara berterusan sehingga bulan Jun 2016 kelak,” katanya.

Tambahnya, sebarang perlanggaran undang-undang yang telah digariskan di bawah akta tersebut tidak akan dibiarkan dan diambil tindakan tegas.

“Kami tidak teragak-agak untuk mengeluarkan notis kepada peniaga yang melanggar peraturan di bawah Seksyen 21 ini dan mereka (peniaga) dikehendaki untuk mengemukakan alasan sewajarnya berhubung peningkatan harga barangan yang tidak munasabah,” katanya.

Katanya PPDNKK juga akan berterusan memantau harga barangan secara keseluruhan termasuk mengira keuntungan maksimum bersih yang diterima peniaga.

“Sekiranya KPDNKK mendapati keuntungan yang diperolehi peniaga adalah melebihi keuntungan maksimum bersih, maka mereka (peniaga) turut akan dikeluarkan notis di bawah AKHAP 2011,” jelasnya.

Pada masa sama, Hafidz menyeru agar orang ramai mengetahui hak mereka sebagai pengguna dan segera melaporkan sebarang kenaikan harga barang yang melampau dibuat oleh peniaga.

“Saya mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk membuat laporan terus kepada kami jika terdapat mana-mana premis yang menaikkan harga barang sesuka hati.

“Kerjasama daripada orang ramai akan memudahkan pihak penguat kuasa kami untuk terus melakukan siasatan dan kami akan ambil tindakan tegas untuk tujuan itu,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai persoalan atau aduan ingin diajukan kepada KPDNKK, bolehlah menghubungi KPDNK di talian 082-466012 atau e-mel ke alamat: [email protected].