Bukan Islam perlu bubar perkahwinan sebelum daftar sebagai mualaf di Negeri Sembilan

0

SEREMBAN: Seorang bukan Islam perlu membubarkan perkahwinannya yang terdahulu sebelum dibenarkan berdaftar sebagai mualaf di Negeri Sembilan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Selain itu, katanya mereka juga perlu membuat akuan berkanun yang menyatakan telah memeluk Islam.

Beliau berkata dua perkara tersebut adalah antara cadangan peraturan baharu yang akan dikuatkuasakan berkaitan mualaf dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.

“Cadangan peraturan baharu ini akan menjadikan enakmen tersebut lebih mantap, mengelakkan kontroversi dan paling penting sekali, Islam tidak akan terjerumus, dihina, dikeji dan dicerca hanya disebabkan oleh perbuatan seorang mualaf,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian taklimat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kepada yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, di sini, semalam.

Mohamad, yang juga Pengerusi MAINS, berkata peraturan baharu terhadap mualaf di negeri itu bertujuan menjaga kesucian Islam dan mempertahankan agama itu daripada dikutuk dan dihina hanya kerana perbuatan bersifat individu.

Katanya pembubaran perkahwinan itu perlu dilakukan sekiranya pasangan mualaf berkenaan tidak mahu sama-sama memeluk Islam yang menjadikan institusi perkahwinan itu tidak lagi mempunyai sebarang makna.

“Mengikut hukum Islam mereka tidak boleh lagi hidup bersama. Mahu tidak mahu terpaksa bubar. Jika dia sudah masuk agama Islam baru hendak bubarkan, itu yang kadang-kadang timbul masalah.

“Lebih baik dia bubarkan sebelum didaftarkan sebagai mualaf. Langkah ini penting bagi mengelak perbuatan berebut jenazah apabila seorang mualaf meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata peraturan baharu itu telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan ia tidak perlu dibentangkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi hanya memerlukan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. — Bernama