Program ‘Reach Out Convention and Celebration’ iM4U diperluas

0

KUCHING: Program tahunan ‘Reach Out Convention and Celebration’ iM4U diperluaskan ke luar dari Lembah Klang ke bahagian-bahagian lain di Malaysia dan kali ini berlabuh di Politeknik Kuching, Matang.

Ketua Pegawai Operasi(COO) iM4U Azlan Rudy Malik yang gembira dengan sambutan memberangsangkan yang diterima ke atas program berkenaan mengajak lebih ramai belia mendaftar sebagai sukarelawan iM4U.

Dengan mendaftar sebagai sukarelawan iM4U, belia katanya dapat menyumbang idea dan usaha mereka untuk membuat kelainan dalam komuniti masing-masing.

Dalam pada itu, program itu semalam dimulakan dengan ceramah oleh Rob Dyer yang merupakan pengasas kepada Skate4 Cancer Foundation.

Ratusan pelajar yang memenuhi dewan Politeknik semalam teruja dengan perkongsian ilmu dan kisah hidup Rob Dyer yang menjadikan hobinya bermain skate sehingga membawa kepada penubuhan Skate4 Cancer Foundation.

Selain Rob, tiga lagi penceramah turut diundang untuk memberi inspirasi kepada para belia iaitu Scott Hammell, penghibur profesional dan pemegang empat kali Guinness World Records. Turut diundang untuk berkongsi kejayaan kepada para belia ialah Freda Liu, jurulatih profesional yang dipersijilkan daripada Corporate Coach Academy dan Eizaz Azhar, usahawan persendirian.

Program ‘Reach Out Convention and Celebration’ dimeriahkan lagi dengan konsert yang disertai oleh artis-artis tempatan dan luar negara.

Antaranya Vince Chong, DJ Fuzz, Wariz, Iwere dan Mark Adam, Altimet, Jrod Twins, Jason D Chen dan David Choi.

Kira-kira 60 peserta bertuah turut berpeluang bertemu dengan semua penyampai pada sesi eksklusif Meet and Greet.

iM4U fm merupakan stesen radio rasmi bagi Reach Out dengan penyampainya Jiggy Giman dan Tylerboy mengacarakan majlis.

Turut hadir pada program itu semalam Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Kuching Jemain Entol.