Khidmat masyarakat Kelab Rotary mendapat pujian

0

LANCAR: Bhichai (dua kiri) dan Gregory (dua kanan) menunjukkan buku Ulang Tahun Kelab Rotary Sibu 50 Tahun Dalam Khidmat Masyarakat sambil disaksikan Andre (kanan) dan Loh (kiri).

SIBU: Khidmat masyara-kat Kelab Rotary Sibu (KRS) mendapat pujian tinggi daripada bekas Presiden Antarabangsa Rotary Bhichai Rattakul pada Majlis Makan Malam Jubli Emas Pelancaran Buku Ulang Tahun Kelab Rotary Sibu ‘50 Tahun Dalam Khidmat Masyarakat’ di sini malam kelmarin.

“Kelab Rotary Sibu telah bertapak lebih setengah abad dan ini membuktikan bahawa khidmat kamu memberi ba-nyak manfaat kepada orang ramai di negera ini dan luar negara.

“Untuk berdiri teguh, anda melalui banyak dugaan dan rintangan namun hari ini anda terus berdiri kukuh dengan semangat lebih teguh dan penuh tekad terus bergerak ke hadapan,” katanya pada majlis tersebut.

Bhichai Rattakul pernah menjadi Ahli Parlimen di Thailand selama sembilan tahun sejak 1969 dan ketua Parti Demokrat serta pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar Thailand, Timbalan Perdana Menteri, Yang Di-pertua Dewan Rakyat dan Presiden Parlimen.

Bhichai menyertai Kelab Rotary Dhonburi di Bangkok sebagai ahli piagam pada 1958 dan berkhidmat sebagai gabenor daerah Rotary Antarabangsa dan pernah memegang banyak jawatan penting lain.

Beliau mula menjadi presiden Rotary Antarabangsa pada 2002 hingga 2003.

Selain itu, Bhichai menasihati ahli-ahli KRS supaya tidak lupa asal-usul aliran pergerakan Rotary khususnya Yayasan Rotarian yang memberi peluang berkongsi dan berkhidmat dalam pelbagai cara.

“Apabila anda mengambil seteguk air, anda harus ingat asal sungai itu.

“Kita mengakui bahawa Yayasan Rotarian mungkin tidak mampu memenuhi semua keperluan di mana sahaja, tetapi kita telah mencurahkan semua usaha kita dan sekurang-kurangnya ada harapan yang kita berikan,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya bekas Presiden KRS Dr Gregory Hii Sui Cheng berkata beliau berbesar hati atas kesudian Bhichai melawat mereka di sini.

“Saya hanya boleh bayangkan betapa indahnya dapat berjumpa dengan kenalan daripada kalangan Rotary selepas lebih setengah abad.

“Pada malam ini juga, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa penganjur yang bertungkus-lumus memastikan buku ini dapat diterbitkan,” katanya.

Turut hadir District Go-vernor (DG) of Rotary District 3310 Andre Suharto, Presiden KRS Loh Wei Boon, Setiausaha Majlis Perbandaran Sibu Hii Chang Kee dan Temenggung Stanley Geramong.