JPAM anjur aktiviti perkenal peranan kepada masyarakat

0

MUKAH: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bahagian Mukah bakal mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang 2015 sebagai salah satu cara untuk memperkenal JPAM kepada masyarakat.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mukah Leftenan Muda (PA) Mohamad Noor Ini, antara aktiviti dilaksana JPAM tahun ini adalah pengambilan anggota baharu.

“Kami menggalak orang ramai terutama golongan belia supaya menyertai JPAM kerana jabatan  memerlukan lebih ramai sukarelawan. Semua orang digalak menyertainya malah golongan bekerja turut dialu-alukan,” tambahnya.

Selain itu, Mohamad Noor berkata, JPAM turut mengadakan aktiviti kursus asas pertahanan awam sekali gus bagi pengambilan anggota.

“Kursus ini akan diadakan selama dua hari iaitu 14 hingga 15 Februari ini (Sabtu dan Ahad) bertempat di Kem Belia Mukah. Ia  penting bagi masyarakat berminat menyertai JPAM dan kami  akan memberi pendedahan berkaitan dengan kerja,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Noor berkata, justeru kerana keadaan cuaca tidak menentu, JPAM Mukah sentiasa bersedia bagi menghadapi kemungkinan banjir.

“Kami sudah bersedia lebih awal dan sentiasa berwaspada bagi menghadapi kemungkinan banjir fasa kedua akan berlaku. Beberapa hari lepas kami telah meninjau di beberapa kawasan  terjejas banjir sebelum ini dan keadaan selamat,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan boleh menghubungi bilik operasi JPAM Mukah di talian 084-872814.