Kesilapan mudah, hilang fokus hampakan Johnny

0

KUCHING: Pengendali skuad Piala Presiden Sarawak, Johnny Dominicus jelas kecewa selepas menyaksikan anak-anak buahnya melepaskan tiga mata penting apabila sekadar terikat 4-4 dengan Pahang pada perlawanan di Stadium Negeri kelmarin.

Menurutnya, kealpaan di bahagian pertahanan telah mengubah takdir pasukannya yang wajar memenangi perlawanan tersebut selepas mendahului sebanyak dua kali.

“Kita sepatutnya menang namun kesilapan mudah dan hilang fokus pada minit akhir perlawanan menghukum kita dari meraih tiga mata penuh,” katanya semalam.

Menurut Johnny, perlawanan agak perlahan pada babak pertama meskipun mereka berjaya menjaringkan dua gol menerusi Nor Azizi Ramlee.

Corak permainan anak-anak buahnya lebih agresif pada babak kedua dan berjaya mencetak dua lagi gol hasil jaringan Abdul Rahim sebelum kecuaian di bahagian pertahanan menidakkan hasrat mereka untuk menggenggam tiga mata penuh.

Penyerang Pahang, Mohd Faizal Abdul Rani muncul wira apabila meledak kesemua gol pelawat pada perlawanan tersebut.

Di sebalik rasa kecewa, Johnny melahirkan rasa syukur kerana pemainnya bebas kecederaan selepas dipaksa bekerja keras oleh Pahang kelmarin.

Ini sekali gus memberi harapan kepada pasukannya untuk memburu kemenangan pada perlawanan ketiga menentang Terengganu pada 25 Februari (Rabu) di Stadium Negeri.

“Setakat ini semua pemain berada dalam keadaan baik kecuali empat pemain yang direhatkan pada perlawanan kelmarin,” katanya.

Untuk perlawanan menentang Terengganu, Johnny berharap pemain akan memperbaiki kesilapan masing-masing dan lebih fokus.