Malaysia kehilangan pengulas sukan tersohor

0

KUALA LUMPUR: Pengulas sukan Datuk Hasbullah Awang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, 12.20 tengah hari semalam.

Menurut Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) Ahmad Khawari Isa, Allahyarham menerima rawatan di IJN, sejak 4 Februari lepas.

Jenazah Allahyarham dibawa ke kediamannya di Bukit Naga, Shah Alam untuk dikebumikan.

Hasbullah, 63, dikenali umum sebagai pengulas dalam pelbagai acara sukan tempatan mahupun luar negara.

Kerjaya terakhir Allahyarham ialah sebagai pengulas sukan dengan saluran televisyen Astro Arena bermula Januari 2014 dan sebelum itu beliau berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Dalam dunia penyiaran, Allahyarham Hasbullah memulakan tugas sebagai juruhebah radio di Radio 1 dan menjadi pembantu mengendalikan program radio untuk kanak-kanak dengan Tengku Mariam Tengku Laksamana Nasir, ‘Bersama Kak Yong’. — Bernama