Kenaikan harga barang di Sarawak masih seimbang

0

Oleh Rosemaria Buma//

 

MURAH: Alias (dua kanan) menunjukkan isyarat bagus ketika melakukan pemeriksaan harga telur gred C di Pasaraya Besar Servay di Miri, semalam.

MIRI: Kenaikan harga barang tertentu di negeri ini antara lima hingga 10 peratus masih lagi dianggap seimbang, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad.

Alias menjelaskan, ini terbukti apabila hanya enam notis dikeluar kepada peniaga seluruh Sarawak sejak Ops Catut dilancar 15 Januari lalu.

Katanya, sejak Ops Catut, sebanyak 14,538 premis di sembilan daerah di Sarawak diperiksa pegawai penguat kuasa KPDNKK.

“Hasil pemeriksaan itu, KPDNKK Sarawak mencatat 98 kes untuk pelbagai kesalahan melibatkan nilai rampasan RM21,793.33 termasuk nilai kompaun RM9,150 serta enam notis dikeluarkan,” katanya.

Alias berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan harga di Pasar Raya Besar Servay di Pusat Komersil Pelita di sini semalam.

Katanya, ia amat sedikit berbanding jumlah keseluruhan dikeluar seluruh negara iaitu 117 notis.

“Ini sekali gus memberi gambaran bahawa kenaikan harga barangan di negeri ini adalah seimbang,” katanya.

Turut mengiringi beliau ialah Pengarah KPDNKK Sarawak Stanley Tan, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Sarawak Abdul Hafiz Abdul Rahim dan Ketua Cawangan Miri, Alexander Averon Suwin.

Katanya, notis itu dikeluar bagi membolehkan pegawai KPDNKK melakukan siasatan terhadap peniaga disyaki menaik harga untuk tujuan mengaut keuntungan lebih.

“Jika didapati bersalah, peniaga akan dikenakan tindakan mahkamah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, yang memperuntuk denda RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan dilakukan individu manakala denda RM500,000 untuk korporat,” katanya.

Sehubungan itu, Alias menasihatkan peniaga agar sentiasa mengamal etika perniagaan baik untuk mengelak timbulnya kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Ketika ditanya berhubung masalah bekalan minyak petrol RON97 yang sering berkurangan sejak kebelakangan ini, Alias menjelaskan bahawa ia berlaku berikutan permintaan tinggi pengguna terhadap bahan api tersebut.

“Sejak berlaku penurunan harga petrol, pengguna lebih suka memilih RON97 kerana beranggapan ia lebih baik ditambah perbezaan harga sedikit dengan RON95.

“Faktor ini telah menyumbang kepada masalah tersebut selain masalah logistik dan infrastruktur di stesen minyak. Justeru kita telah meminta syarikat minyak seperti Shell, Petronas dan Petron menyedia stok lebih banyak pada masa depan,” katanya.