Tiga rumah teres musnah dalam kebakaran

0

MUSNAH: Anggota bomba memadam kebakaran sebuah rumah yang terbakar.

KUCHING: Tiga rumah teres di Taman Seri Permai Landeh, di sini musnah dalam kebakaran petang semalam.

Menurut jurucakap bomba, faktor kedudukan rumah yang terlalu rapat menyebabkan api yang bermula dari sebuah rumah merebak dengan cepat, sekali gus turut memusnahkan dua rumah bersebelahan.

Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang itu, sebuah rumah musnah sepenuhnya, sebuah lagi terbakar 95 peratus manakala rumah ketiga, 80 peratus.

“Setakat jam 6 petang, dilaporkan tiga buah rumah telah terbakar disebabkan kedudukan rumah yang terlalu rapat dan buat masa kini, pihak bomba masih memadam kebakaran,” kata jurucakap bomba.

Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur sebuah rumah yang telah terbakar keseluruhannya.

Sehingga berita ini ditulis semalam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pegawai forensik bomba.