Pejabat UPP Serumbu buka fungsi jadi pusat sehenti

0

KUCHING: Pejabat Parti Rakyat Bersatu (UPP) Cawangan Kecil Serumbu bakal menjadi pusat sehenti kerana pelbagai perkhidmatan disedia untuk manfaat masyarakat secara menyeluruh.

Timbalan Presiden UPP Datuk Dr Jerip Susil berkata, antara perkhidmatan ialah melihat aduan masyarakat termasuk permohonan kebajikan dan kemudahan asas.

“Boleh dikata pejabat ini adalah pusat sehenti menyedia banyak perkhidmatan.

“Kita memberi pertolongan kepada masyarakat dalam pelbagai aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmi Pejabat UPP Cawangan Kecil Serumbu dan Program Jalinan Kasih Tahun Baru Cina di sini, semalam.

Menurutnya, setiap masalah berlaku di kampung masing-masing boleh dilapor di pejabat tersebut.

“Jika terdapat masalah di kampung termasuk kekurangan prasarana, sila lapor di pejabat ini supaya tindakan segera diambil,” ujarnya.

Jelasnya, sebagai menteri muda dan wakil rakyat beliau memerlu maklum balas masyarakat berhubung masalah di kawasan masing-masing.

“Kalau tiada laporan sukar untuk memberi pertolongan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi UPP Cawangan Kecil Serumbu Pui Shak Sin berkata, pembukaan pejabat tersebut adalah lembaran dan harapan baharu untuk UPP.

“Sekarang kita dapat lihat maklum balas masyarakat terhadap UPP amat memberangsangkan termasuk dalam kalangan generasi muda,” kata Pui.

Biarpun masih baharu katanya, UPP merupakan parti pelbagai bangsa yang ketika ini sudah mempunyai 24 cawangan di seluruh negeri.

Hadir sama Pengerusi UPP Batu Kawah Liu Thian Leong.