Proton yakin Iriz dapat sambutan positif

0

KOTA KINABALU: Proton Holdings Berhad (Proton) yakin model keluaran terbaharu, Proton Iriz mendapat sambutan positif di Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Nor Zahid Zahudi percaya permintaan untuk gear auto Iriz meningkat berdasarkan perubahan permintaan dan pertambahan kuasa beli pengguna di kedua-dua negeri.

“Iriz adalah perspektif segar model Proton dan ia segmen yang kami percaya akan bertumbuh di Sabah dan Sarawak.

“Malah kuasa beli di Sarawak dan Sabah telah meningkat. Permintaan  model auto menunjukkan petanda positif,” jelasnya kepada media selepas demo Electronic Stability Control  (ESC) Proton Iriz stadium Likas semalam.

Dengan menggunakan kuasa enjin VVT  (Variable Valve Timing) yang berupaya menjimatkan penggunaan minyak petrol, Proton Iriz menawarkan pilihan model Standard dan Eksekutif 1.3 serta Eksekutif dan Premium 1.6

Nor Zahid menjelaskan, Proton membuat penghantaran sekurang-kurangnya 10,000 Iriz setakat ini dengan jumlah tempahan sebanyak 17,000 di seluruh negara.

“Untuk tempahan pertama, Proton mengedarkan model Iriz 1.6, manual  dan auto 1.3 sejak dilancarkan penghujung tahun lalu,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April, Nor Zahid berkata, Proton masih mengkaji semua keberangkalian memastikan Proton bergerak  ke hadapan seiring pelaksanaan cukai berkenaan.

Mengulas tentang konvoi pandu uji Proton Iriz Borneo Drive pula,  beliau berkata, laluan Miri, Brunei, Limbang dan Kota Kinabalu adalah ujian sesuai untuk Iriz.

Aktiviti itu katanya, berjalan  lancar walaupun peserta melalui laluan kerap diguna kenderaan berat.

Konvoi turut disertai 20 media yang diberi peluang memandu sendiri Proton Iriz melalui perjalanan sejauh lebih 550 kilometer.

“Secara keseluruhannya , media suka kereta ini. Iriz sebuah kereta mantap. Direka untuk pelbagai jenis pengguna. Ini merupakan testimoni baik untuk Iriz,” katanya.