Kemalangan di Malaysia antara tertinggi dunia

0

LANCAR: Manyin (dua kiri) memotong reben sebagai simbolik pelancaran ‘One Stop Centre’ Institut Memandu Kota Gading di Bau, semalam. Turut kelihatan Henry (dari kiri), Nogeh dan Ik Pahon.

Purata kematian akibat kemalangan di negara ini 19 orang sehari atau 7,000 orang setahun: Manyin

Oleh Agnes Tugong //

BAU: Malaysia merupakan antara negara yang mencatat kes kemalangan jalan raya tertinggi di dunia dengan purata kematian 19 orang sehari atau 7,000 orang setahun.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata daripada jumlah tersebut, 65 peratus kemalangan adalah berpunca daripada kecuaian manusia.

Justeru beliau menasihati pengguna terutama pemandu kereta, bas, lori dan sebagainya serta penunggang motosikal agar lebih berdisiplin ketika berada di jalan raya.

“Saya baharu sahaja balik dari Jakarta dan yang menariknya tidak ada kemalangan berlaku meskipun jalan raya di Jakarta adalah antara yang paling sibuk di dunia.

“Berbeza dengan kita di sini, meskipun standard jalan raya kita jauh lebih baik daripada Jakarta tetapi insiden kemalangan begitu kerap berlaku.

“Persoalannya mengapa?. Ini kerana rakyat di Jakarta memberi laluan kepada pengguna lain dengan membunyikan hon tetapi tidak bagi kita di sini di mana pengguna akan menjadi marah apabila dihon oleh pengguna lain,” katanya pada pelancaran ‘One Stop Centre’ Institut Memandu Kota Gading (IMKG) di sini semalam.

Tambah Manyin, kebanyakan daripada mereka yang terlibat dalam insiden kemalangan adalah membabitkan golongan muda yang produktif kepada ekonomi negara.

Disebabkan kemalangan yang meragut puluhan nyawa setiap hari, negara terpaksa menanggung kerugian berbilion ringgit.

Sehubungan itu, beliau menggesa institut memandu termasuk IMKG supaya melatih pemandu yang bukan sahaja pandai memandu malah berdisiplin ketika berada di jalan raya.

“Saya difahamkan bahawa sempena pembukaan ‘One Stop Centre’ di sini semalam, pihak IMKG menawarkan diskaun 25 peratus atau RM400 ke atas yuran bagi mendapatkan lesen memandu.

“Tetapi seperkara yang harus diingati, tawaran diskaun ini tidak bermaksud standard latihan dilonggarkan di kalangan pemandu yang dilatih bagi mendapatkan lesen memandu,” ujarnya.

Sementara itu Pengarah Urusan IMKG Henry Harry Jinep berkata ‘One Stop Centre’ yang dilancarkan semalam merupakan cawangan kedua selepas MJC Batu Kawa.

Tujuannya adalah untuk memberi kemudahan kepada penduduk bagi pendaftaran, pembayaran serta mendapatkan maklumat mengenai prosedur mendapatkan lesen memandu.

Dengan pembukaan ‘One Stop Centre’ ini, penduduk katanya terutama dari sekitar daerah Bau tidak lagi perlu bersusah payah ke IMKG Tondong untuk urusan seperti yang telah dinyatakan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan merangkap Pengerusi DBNA Datu Ik Pahon Joyik dan Temenggung Austin Dimin.