Penduduk Rumah Anji, Mupoh Baruh, Spak terpaksa buka tabung bencana sendiri di pusat pemindahan
Oleh Nick Fletcher //
KUCHING: Membuka ‘tabung bencana’ sendiri, itulah usaha yang terpaksa dilakukan oleh mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh dari Rumah Anji, Mupoh Baruh, Spak untuk mendapatkan bantuan kewangan setelah mereka berasa diabaikan oleh kerajaan.
Mereka terdiri daripada 44 mangsa daripada 17 keluarga yang kini masih berteduh di pusat pemindahan di Dewan Rentap, Betong setelah dipindahkan pada awal bulan ini ekoran rumah panjang yang didiami mereka terjejas oleh tanah runtuh.
Menurut Ketua PKR Betong Vernon Aji Kedit yang melawat mangsa-mangsa terbabit baru-baru ini, mereka kini sudah tinggal di pusat pemindahan selama dua minggu dengan diberikan bantuan makanan dua kali sehari (makan tengah hari dan makan malam) oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain itu, Persatuan Cina Betong juga telah bermurah hati menderma makanan dan keperluan lain kepada mereka.
Walaupun bersyukur diberikan tempat perlindungan dan makanan, Vernon bagaimanapun berkata penduduk terbabit memberitahu bahawa mereka amat kecewa kerana sehingga hari ini, keadaan mereka masih sama sejak mula dipindahkan.
Jelas beliau, antara perkara yang menyebabkan kekecewaaan penduduk terbabit ialah mereka tidak menerima satu sen pun dari segi bantuan krisis kecemasan.
Selain itu, katanya sehingga kini mereka tidak ditawarkan bantuan kerajaan dalam bentuk geran atau pinjaman perumahan dan juga belum dimaklumkan sama ada kerajaan akan membantu mereka berpindah ke tapak baharu atau sebagainya.
“Sungguh menyedihkan di mana walaupun sudah dua minggu kejadian menimpa penduduk, mereka masih tidak diberikan perhatian dan sokongan penuh daripada kerajaan.
“Mangsa bencana di negeri lain dan juga di negara lain telah dapat dibantu segera oleh kerajaan tetapi kenapa penduduk miskin di Betong ini yang pada ketika ini sangat memerlukan tidak dibantu segera dan dibiarkan.
“Berapa lamakah lagi mereka harus tinggal di pusat pemindahan sedangkan tiada apa-apa langkah konkrit yang diambil oleh kerajaan untuk meringankan beban mereka,” kata Vernon menerusi satu kenyataan, semalam.
Disebabkan keadaan itu, Vernon berkata penduduk terbabit telah membuka ‘tabung bencana’ sendiri bagi meraih derma daripada pelawat.
“Ia mengharukan saya apabila melihat mereka meletakkan tin biskut di pintu masuk dewan untuk mendapatkan derma kewangan daripada pelawat…ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.