Bunuh: Balu Stephen mengaku tidak bersalah

0

Oleh Watt Zacchaeus//

MENGAKU TIDAK BERSALAH: Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi di Sibu, semalam.

Christine Ling beri isyarat pengakuan tidak bersalah terhadap tuduhan bunuh suami

 

SIBU: Balu pengurus bank Stephen Wong yang mati dibunuh, dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini semalam dan mengaku tidak bersalah terhadap satu kes pembunuhan.

Christine Ling, 34, dilihat menggelengkan kepalanya dengan memberi isyarat membuat pengakuan tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Pertuduhan dibacakan dan dijelaskan kepadanya melalui seorang jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Hakim Mahkamah Tinggi Supang Lian menetapkan pengurusan kes terbabit pada 5 Mac depan untuk didengar semula oleh seorang lagi Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Norcahaya Arshad dari Kota Kinabalu.

Menurut pertuduhan yang dipinda, tertuduh dikatakan bersama-sama dengan seorang lagi tertuduh yang masih bebas iaitu Tiong King Guan sementara seorang lagi tertuduh, Ling Hoe Ing yang ketiga-tiganya didakwa bersubahat melakukan pembunuhan itu.

Kesalahan itu dikatakan berlaku di sebuah rumah di Hulu Sungai Merah kira-kira jam 1.30 pagi, pada 14 Jun 2012.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Rayuan di Kuching mengarahkan kes Christine dan Tiong didakwa bersubahat dalam pembunuhan Stephen kira-kira tiga tahun lalu disebut semula.

Berikutan perintah itu, kes terbabit dilanjutkan ke Mahkamah Tinggi di sini semalam untuk sebutan semula.

Christine (isteri Stephen) dan Tiong, 29, sebelum ini dilepaskan tetapi bukan pembebasan daripada tuduhan bersubahat membunuh Stephen.

Tiong, responden pertama tidak hadir semasa keputusan di Mahkamah Rayuan dan waran tangkap dipohon pendakwaan diberikan kepada Tiong manakala Christine ditangkap semula dan diperintahkan supaya ditahan dalam penjara sementara menunggu penyelesaian kes itu sebagai tuduhan dirangka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori sekali gus tidak boleh diikat jamin.

Christine dan Tiong mulanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sementara seorang lagi tertuduh, Hoe Ing di Mahkamah Tinggi Sibu tetapi pertuduhan mereka dipinda kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Hoe Ing, 27, sebelum ini diperintahkan dipenjarakan hukuman penjara 16 tahun dan kini menjalani hukuman itu.

Bagaimanapun, pendakwaan membuat rayuan terhadap pelepasan.

Christine diwakili Anthony Tai, Roger Chin dan Sempurai Petrus manakala Tiong oleh Orlando Chua.

Sementara itu, selepas sebutan kes itu semalam ibu mendiang Stephen yang turut menghadiri perbicaraan itu tidak dapat menahan sebak.