Kewujudan gerakan Sabah, Sarawak Keluar Malaysia harus dipandang serius

0

KUCHING: Kewujudan gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) harus dipandang serius oleh pihak berwajib bagi memelihara integrasi nasional di kedua-dua negeri ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yang bimbang akan gerakan SSKM ini berkata ia merupakan satu ancaman baharu kepada rakyat di kedua-dua negeri ini termasuk negara secara keseluruhannya.

Justeru beliau mengingatkan semua pihak terutama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) agar tidak memandang remeh gerakan SSKM ini yang diwujudkan dengan agenda tersendiri.

“Di Sabah dan Sarawak ketika ini wujud satu gerakan untuk membawa rakyat di Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia dan sebagai warga JPNIN anda perlu sedar akan perkara ini yang merupakan satu ancaman kepada integrasi nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi JPNIN Bahagian Kuching di salah sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Terdahulu dalam ucapannya, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata JPNIN memainkan peranan yang besar untuk memastikan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan negara.

Malah penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah berjaya mengurangkan indeks jenayah di kawasan KRT masing-masing.

Bagaimanapun katanya, kita masih tidak boleh duduk dengan selesa kerana negara kini berhadapan cabaran besar dengan kewujudan teknologi dan internet.

Tetapi katanya, jika KRT dapat menggunakan teknologi ini untuk menyebarkan maklumat yang berguna kepada masyarakat beliau yakin kesan negatif teknologi dan internet dapat dibendung.

Majlis itu bertujuan meningkatkan motivasi dan semangat warga JPNIN dan ahli jawatankuasa KRT dengan memberi penghargaan kepada individu-individu yang telah banyak memberi sokongan dan sumbangan.