Penubuhan UPP Batu Kawah mula beri kesan

0

Oleh Henrietta Liza//

 

RINGANKAN BEBAN: Liu (tengah) dan Bong (kanan) menyerahkan kad derma untuk mengumpul dana bagi SJK (C) Chung Hua Kim Choo Sing kepada Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Lai Soong Lee (dua kiri) dan Pengerusi Yio Hua Sen. Turut kelihatan di sebelah kiri, Timbalan Bendahari UPP Cawangan Batu Kawah Tan Sung Hui.

KUCHING: Walaupun belum hampir sebulan ditubuhkan, Parti Rakyat Bersatu (UPP) Cawangan Batu Kawah telah mula memberi kesan positif dalam masyarakat, terutama dalam membantu sekolah-sekolah Cina di situ.

Pengerusinya Pemanca Liu Thian Leong berkata, bagi membantu membina semula SJK (C) Chung Hua Kim Choo Sing yang terletak kira-kira dua kilometer dari bandar lama Batu Kawa, sebuah program larian amal akan dianjurkan pihaknya pada 15 Mac depan.

Menurutnya, sekolah berusia 70 tahun itu memerlukan pembinaan semula berikutan bangunan yang sudah usang dan uzur serta dimakan anai-anai, dikhuatiri boleh mengundang bahaya kepada murid dan guru.

“Kami akan berusaha mengumpul dana sebanyak RM200,000 bagi membantu sekolah ini yang mana setakat ini kami telah menyerahkan RM50,000 kepada mereka.

“Kami berharap dapat mendapatkan baki selebihnya iaitu RM150,000 melalui program amal ini nanti,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Pusat Komersial Kuching City Mall di sini, kelmarin.

Justeru, UPP sebagai penganjur berharap orang ramai dapat memberi sokongan dan bantuan dengan menyertai larian amal pada bulan Mac ini.

Sementara itu, jawatankuasa penganjur diketuai timbalannya, Lim Bong Fatt menjangkakan sekurang-kurangnya 500 peserta menyertai program larian amal yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu empat kilometer dan 2.5 kilometer.

“Pelepasan peserta akan bermula dari SJK (C) Chung Hua Kim Choo Sing dan akan berakhir di SJK (C) Chung Hua Batu Kawa,” jelasnya.

Untuk menyertainya pula, peserta perlu membantu mengumpul derma sekurangnya-kurangnya RM30 dan setiap peserta akan diberi baju dan sijil manakala 10 peserta yang telah berjaya mengumpul paling banyak derma akan diberi hadiah.

Dalam pada itu, Liu memaklum bahawa UPP Cawangan Batu Kawah juga akan mengadakan konsert amal pada bulan April bagi mengumpul dana untuk SJK (C) Chung Hua Stapok dan Sekolah Menengah Min Lit Batu Kawa.

Dalam perkembangan lain, beliau ketika ditanya mengenai masalah yang dihadapi di kawasan Batu Kawa berkata, semasa lawatan turun padang masih banyak jalan kampung di kawasan itu perlu diperbaiki.

“Semasa melawat kawasan sekitar Batu Kawa, kita mendapati jalan kampung tidak kira di kawasan penempatan kaum Cina atau Bumiputera berada dalam keadaan yang sangat daif serta tidak diselenggara dengan baik.

“Oleh itu, tepat pada masanya untuk UPP tampil memainkan peranan dan cuba untuk mendekati masyarakat akar umbi dengan memberi perkhidmatan kami kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Dalam pada itu juga, Liu bersama ahli cawangan mengambil kesempatan kelmarin untuk mengedarkan limau mandarin dan angpau kepada orang ramai di sini.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti amal dianjurkan, orang ramai boleh menghubungi pejabat cawangan UPP Batu Kawah di 082-531611 atau faks ke 082-531622 atau e-mel kepada [email protected].