Usia emas tidak halang aktif kegiatan lasak

0

Oleh Adnan Jahaya//

 

KONGSI ILMU: Azizan tidak pernah lokek dengan ilmu kecergasan dan kesihatan malah sering memberi motivasi kepada rakan seusianya untuk berusaha melakukan aktiviti kecergasan. — Gambar Bernama

AZIZAN Ali sudah lama meniti usia emas namun angka pada umurnya tidak menghalangnya untuk membuktikan kudratnya masih perkasa.

Tidak seperti kebanyakan rakan seusianya yang lebih selesa berehat dan melakukan kegiatan ringan, pesara guru berusia 68 tahun itu tetap berlari, berenang dan berbasikal hampir saban hari.

Banyak yang tidak menyedari warga emas kelahiran Perlis itu pernah berenang merentasi laut dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dan pernah berbasikal mengelilingi Semenanjung Malaysia.

Azizan, yang kini menetap di Taman Indera, Kangar mempunyai jadual kegiatan tersendiri malah sentiasa merancang untuk melakukan kegiatan lasak bagi mengisi ruang usianya yang masih berbaki.

Kehidupan hariannya penuh dengan aktiviti kecergasan dan Denai Larian Sungai Perlis yang terletak di Pengkalan Asam menjadi lokasi utamanya pada sebelah pagi manakala sebelah petang, beliau akan berbasikal selama beberapa jam di lokasi sekitar Kangar.

“Usia hanyalah angka. Saya tidak akan berhenti melakukan kegiatan lasak selagi mampu,” kata bapa kepada lima anak berusia antara 25 dan 35 tahun itu ketika ditemui Bernama di Denai Larian Sungai Perlis.

Beliau berkata, ada yang menganggap apa yang dilakukannya selama ini sebagai “gila” malah ada cita-citanya yang dianggap tidak masuk akal kerana faktor usianya namun semuanya dilalui dengan jayanya.

Yang belum terlaksana hanyalah impian untuk menjadi warga emas pertama berenang menyeberangi Selat Inggeris walaupun pelbagai usaha dilakukan sejak 2009.

 

RENTASI LAUT

 

Azizan yang mempunyai lima cucu yakin beliau mampu melakukan sesuatu yang dianggap hanya sesuai dilakukan golongan muda sekiranya diberi peluang selain dikurniakan tahap kesihatan yang baik.

Mungkin ada yang menganggap Azizan adalah sama seperti golongan veteran yang sesekali melakukan kegiatan kecergasan namun sebenarnya penggiat sukan itu telah mencipta beberapa rekod peribadi.

Antara catatan rekod itu termasuk muncul sebagai lelaki paling tua yang berenang secara solo dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis sejauh 51 kilometer pada 2008 dalam tempoh 14 jam.

Renangan itu diadakan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51 dan secara kebetulan jarak renangan itu juga ialah 51 kilometer.

Beliau juga pernah berenang sejauh 22 kilometer mengelilingi Tasik Putrajaya pada 2009 dan pada 2013, beliau berenang sejauh 20 kilometer di laut bermula di Kuala Perlis dan berakhir di pantai Kuala Sanglang.

Kegiatan itu tidak berakhir di situ sahaja sebaliknya renangan itu hanya sebahagian daripada pakej mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh lebih 1,800 kilometer dengan berbasikal.

Selain itu, beliau mencipta rekod sebagai perenang pertama yang melakukan renangan sejauh 50 kilometer di Terusan Arau pada 2007 sempena sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50.

Sempena Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 yang berlangsung di Perlis tahun lepas, beliau muncul sebagai ironman bagi mempromosi sukan itu dengan melakukan beberapa kegiatan.

Antaranya berlari mengelilingi bandar Kangar sejauh 17 kilometer dan kemudian berbasikal dengan jarak yang sama serta berenang 17 pusingan di kolam renang Hotel Putra Palace, Kangar dalam tempoh beberapa jam.

 

MISI SUKAR

 

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Azizan Ironman Perlis pernah menyertai program ironman di dalam dan luar negara dan menamatkannya dengan sempurna.

Kegiatan terbaharunya ialah menyambut kedatangan Tahun Baharu 2015 pada 1 Jan lepas dengan berlari, berbasikal dan berenang dengan membawa bebanan seberat lima kilogram di belakangnya.

Seawal jam 4 pagi, beliau telah berlari membawa bebanan itu sejauh 20 kilometer selama dua jam melalui beberapa batang jalan utama sekitar Kangar.

Selepas berlari, beliau berbasikal membawa bebanan itu mengikut laluan yang sama sejauh 20 kilometer.

Azizan melengkapi pusingan pertama selepas memanjat 20 anak tangga Bukit Lagi di Behor Gandil dan berenang sebanyak 20 pusingan di kolam renang hotel Putra Palace, Kangar.

Selepas menamatkan pusingan pertama, beliau memulakan pusingan kedua dengan mengulangi kegiatan berlari dan berbasikal dengan masing-masing sejauh 15 kilometer serta memanjat 15 anak tangga Bukit Lagi dan berenang 15 pusingan di kolam renang hotel yang sama.

Katanya, jarak 20 dan 15 kilometer itu adalah simbolik kepada kehadiran tahun baru 2015.

Azizan tidak keseorangan dalam menjayakan misi usia emasnya kerana isterinya, Zainab Abdullah, 60, turut merestui kegiatannya walaupun sentiasa dibayangi kebimbangan.

Beliau berazam untuk terus melakukan aktiviti lasak yang amat diminatinya sejak masih di bangku sekolah bukan sahaja kerana minatnya tetapi juga sebagai penyuntik semangat kepada golongan seusia dengannya selain remaja.

Azizan juga seorang penyayang kepada binatang dan saban hari turut memberi makanan kepada kira-kira 20 ekor kucing terbiar di kawasan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini.

Kucing-kucing itu sentiasa menunggu kehadiran Azizan yang menjinjing makanan untuk haiwan berkenaan. — Bernama