Jejak tapak kaki bawa penemuan mayat warga emas hilang

0

DITEMUI: Mayat mangsa dihantar ke rumahnya untuk upacara pengebumian.

KUCHING: Keluarga lelaki warga emas yang hilang sejak petang kelmarin menemui mayat mangsa yang dipercayai lemas semalam di kawasan paya selepas mengesan jejak tapak kakinya.

Mangsa Lee Tambi, 73, dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas dia gagal pulang ke rumahnya di Kampung Tabuan Tengah di sini petang kelmarin.

Usaha mencari mangsa di sekitar kampung kemudian membawa kepada penemuan jejak tapak kaki mangsa beberapa meter dari rumahnya yang menunjukkan mangsa berjalan ke arah sungai.

“Kesan tapak kaki itu hanya menunjukkan dia (mangsa) berjalan ke arah sungai, tetapi tiada pula kesan tapak kaki menunjukkan dia kembali ke darat dan kami khuatir kemungkinan dia dihanyutkan air.

“Tanpa berlengah, kami terus mencarinya di kawasan sungai namun keadaan air sungai semakin surut serta berpaya, tambahan hari juga sudah semakin gelap menyukarkan kami untuk meneruskan operasi,” kata ahli keluarga mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan semalam dan turut disertai anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pegawai JPAM Kuching Leftenan Shaiful Zainal yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu, mayat mangsa ditemui kira-kira tiga kilometer dari tempat tapak kaki mangsa dikesan.

“Rondaan dilakukan di sekitar lokasi terakhir tapak kaki mangsa dikesan dan sekitar jam 2 petang kita telah dimaklumkan bahawa mangsa telah ditemui di pangkalan Tabuan Foochow.

“Kita tiba di lokasi mangsa ditemui beberapa minit kemudian dan pemeriksaan mendapati mangsa tidak lagi bernyawa dan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik,” kata Shaiful.

Keluarga mangsa bagaimanapun enggan mayat mangsa dihantar ke hospital dan telah dibawa pulang untuk upacara pengebumian.