SLTA sedia anjur empat kejohanan tenis antarabangsa

0

KUCHING: Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) bersedia memulakan kalendar tahunan dengan penganjuran empat kejohanan tenis peringkat antarabangsa dari 26 Februari hingga 9 Mac depan.

Presidennya, Datuk Patrick Liew berkata empat kejohanan tersebut ialah Pra-Kelayakan Akhir ITF Kejohanan Berpasukan Dunia Asia Oceania Lelaki/Wanita, Pra-Kelayakan Akhir ITF Piala Davis Remaja Asia Oceania dan Pra-Kelayakan Akhir ITF Piala Fed Remaja Asia Oceania.

“Kita optimis menganjurkan empat kejohanan itu dengan lancar kerana SLTA mempunyai jawatankuasa penganjur berpengalaman dan begitu komited,” katanya semasa menerima kunjungan media sempena sambutan Tahun Baharu Cina di kediamannya di sini semalam.

Menurut Patrick, Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) memberi SLTA geran sejumlah RM210,000 untuk melancarkan penganjuran empat kejohanan tersebut.

Tambahnya, untuk tahun ini SLTA akan menganjur sebanyak tujuh kejohanan bertaraf dunia dan dua kejohanan peringkat negeri.

Kejohanan lain ialah Piala Ketua Menteri Sarawak ke-25 (I) Sirkit Remaja ITF (Gred 1) dari 17-22 Mac, Siri Asian ATF ke-11 14 tahun ke bawah dari 2-6 September, Piala Ketua Menteri Sarawak ke-26 (II) Sirkit Remaja ITF (Gred 3) dari 6-11 Oktober.

Ini termasuk Tertutup Sarawak dan Kejohanan Antara Bahagian (24-29 Mac) dan Junior Master Sarawak (11-13 Disember).

“Tahun ini (2015) menjadi tahun sibuk bagi SLTA dan akan bekerja keras memastikan kelancaran semua kejohanan dianjurkan. Kita melihat peningkatan dari segi penyertaan tahun ini dan beberapa negara seperti Laos turut serta,” katanya.

Sementara itu, SLTA melatih bekas-bekas pemain sebagai ahli-ahli jawatankuasa baharu membantu melicinkan penganjuran pelbagai kejohanan.