Jom sertai ‘Pesta Bungin Road Race Challenge’

0

BETONG: Peminat aktiviti sukan berbasikal lasak dipelawa menyertai ‘Pesta Bungin Road Race Challenge 2015 (Tertutup Sarawak)’ yang akan berlangsung pada 14 Mac depan, jam 7.30 pagi di Kampung Bungin.

Menurut Jawatankuasa Penganjur, Adi Spaiee untuk menjadi juara pertandingan tersebut peserta perlu melalui laluan sejauh 68 kilometer melibatkan perjalanan Kampung Bungin/Mangut/Tuie/Pusa/Bungin.

“Peta laluan kejohanan disediakan sebelum perlumbaan dijalankan dan pelumba diberi peluang meninjau laluan terlebih dahulu sebelum menyertai pertandingan.

“Jarak yang ditetapkan sejauh 68 km dan mempunyai laluan rata (berturap) dan tiada laluan mendaki,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, pertandingan itu dibuka kepada semua pelumba seluruh negeri ini dan mereka diminta mengemukakan satu salinan MyKad sebagai semakan kelayakan berserta dengan borang pendaftaran/penyertaan.

Setiap penyertaan adalah secara individu/perseorangan dan hanya pelumba yang berdaftar melalui borang penyertaan sahaja layak berlumba.

Selain itu, peserta hanya dibenarkan mengambil bahagian satu kategori sahaja.

“Setiap peserta menyertai perlumbaan ini dikenakan bayaran RM40 bagi kategori terbuka (berumur 19 tahun ke atas) dan masing-masing RM30 bagi vateran (40 tahun ke atas) dan junior (18 tahun ke bawah).

“Bayaran hendaklah dibuat secara tunai bersama dengan borang penyertaan serta salinan kad pengenalan setiap pemain sebagai pengesahan menyertai kejohanan ini,” jelasnya.

Tarikh tutup penyertaan pada Rabu, 11 Mac jam 8 malam di Sekolah Kebangsaan Bungin.

Penyertaan juga boleh dimaklumkan melalui ‘Facebook’ atau sms kepada penganjur dan tarikh mengambil nombor perlumbaan pada 13 Mac, jam 5 petang hingga 9 malam di Bungin Bazaar.

Tempat pertama hingga tempat ke-10 kategori terbuka bakal menerima hadiah wang tunai RM500 (juara), RM350 (naib juara), RM250 (ketiga), RM150 (keempat), RM100 (kelima) dan RM50 (keenam hingga ke-10).

Bagi kategori veteran dan junior, pemenang masing-masing membawa pulang RM350 (juara), RM200 (naib juara), RM150 (ketiga) dan RM50 (keempat dan kelima).

Untuk borang penyertaan dan keterangan lanjut hubungi pengurusan kejohanan atau hubungi talian Adi (019-4675904) dan Awangku Shahrizan Zulkarnain (014- 8888936).