Kehadiran Abang Johari ke rumah terbuka UPP tidak wajar dipolitik

0

KUCHING: Kehadiran Timbalan Presiden II PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ke rumah terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) anjuran Parti Rakyat Bersatu (UPP) semalam tidak wajar dilihat dari sudut politik.

Menurutnya, kehadiran beliau bukan mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang tidak berada di Kuching kerana beliau ada tugasan rasmi di tempat lain.

“Saya datang ke sini sebagai rakan dan rakan sekerja (dalam kabinet)… ini Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka di Dewan Masyarakat Kuching.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berhubung kehadirannya pada majlis itu berkata sambil berseloroh, “Kita berharap Tahun Kambing akan membawa tuah.”

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan turut ditemani Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan meluangkan masa kira-kira sejam bersama para pemimpin UPP.

Pada Khamis lepas, Abang Johari merupakan antara tetamu daripada kabinet negeri yang berkunjung ke majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran UPP.

Majlis yang dihadiri ratusan hadirin itu dihadiri Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh, Timbalannya Datuk Dr Jerip Susil dan Ketua Pemuda UPP Dr Johnical Rayong Ngipa.

Ini merupakan kali kedua kemunculan Abang Johari pada majlis anjuran UPP.

Sebelum ini beliau mewakili Ketua Menteri pada majlis merasmikan Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali (TDC) UPP pada 11 Januari lepas.

Susulan itu, ada yang mengaitkan kehadiran Abang Johari seolah-olah memberi harapan cerah kepada UPP untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Pemimpin UPP ditubuhkan oleh mereka yang keluar daripada SUPP ekoran krisis yang gagal diselesaikan.

SUPP secara terbuka menyatakan pendirian mereka tidak setuju dengan penyertaan UPP ke dalam BN.

Justeru, pemimpin-pemimpin SUPP termasuk Presidennya Datuk Prof Dr Sim Kui Hian, selepas Abang Johari merasmikan TDC itu, kesal dengan tindakan itu.

“Kehadiran YB Datuk Amar Abang Johari pada persidangan UPP akan menimbulkan kekeliruan kepada rakyat Sarawak,” kata Dr Sim.