Konsultan rugi RM50,000, rumahnya dipecah masuk

0

KUCHING: Seorang konsultan hal tanah hilang koleksi barangan antik serta jam tangan berjenamanya yang bernilai mencecah RM50,000 selepas rumahnya dipecah masuk kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 45 tahun itu menyedari insiden tersebut sebaik tiba di rumahnya di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini apabila mendapati keadaan berselerak sekitar jam 10 malam.

Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati pelbagai barang berharga miliknya telah hilang.

“Kesemua barang yang hilang dianggarkan bernilai mencecah RM50,000 antaranya koleksi barang antik serta jam tangan berjenama serta 22 unit telefon pintar.

“Selepas memeriksa keadaan di dalam rumahnya, mangsa mendapati pencuri telah masuk ke dalam rumah tersebut dengan memanjat pintu belakang,” kata sumber.

Mangsa yang diiringi ahli keluarganya kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian di balai polis berhampiran.

Sementara itu dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki turut membuat laporan polis mendakwa rumahnya di Jalan Datuk Stephen Yong Link, di sini telah dipecah masuk pencuri lewat malam juga Khamis lepas.

Mangsa, 24, dikatakan menyedari insiden tersebut apabila mendapati tingkap dapur rumahnya telah dirosakkan dan mendapati dua bilik telah digeledah serta pelbagai barang berharga termasuk wang tunai telah hilang.

Antara yang dilaporkan hilang ialah wang tunai berjumlah sekitar RM15,000 dan koleksi barang kemas bernilai mencecah RM20,000.

Siasatan lanjut pihak polis berhubung laporan tersebut masih giat dijalankan.