Guru subjek Bahasa Iban masih kurang

0

Sekolah luar bandar hadapi kekurangan guru Bahasa Iban berbanding subjek lain

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Sekolah-sekolah di luar bandar didapati menghadapi masalah kekurangan guru mengajar dalam Bahasa Iban berbanding guru subjek lain, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh.

Katanya ini harus diambil perhatian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandangkan bahasa itu sudah diiktiraf di peringkat tinggi dalam sukatan pelajaran di negara ini.

“Saya mahu guru mengajar subjek Bahasa Iban di sekolah-sekolah ditambahkan kuotanya agar sejajar dengan tarafnya yang sudah diiktiraf.

“Justeru, saya juga mahu ramai guru di negeri ini dilatih dengan secukupnya serta mengambil jurusan subjek Bahasa Iban di institut-institut perguruan sedia ada,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Bengkel Penulisan Cerpen dan Novel Bahasa Iban anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Penulis Iban Sarawak (SIWA) di sini malam kelmarin.

Hadir sama Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Pelbagai Kaum DBP Abdul Wahab Hamzah, Pengarah DBP Cawangan Sarawak Dr Hazami Jahari dan Pengerusi Kehormat SIWA Harry Usup Umbar.

Seramai 42 penulis Iban dari seluruh negeri ini menghadiri bengkel julung kalinya dari 20 hingga 22 Februari.

Menurut Mauh, selain menghadapi masalah kekurangan guru mengajar Bahasa Iban, sekolah-sekolah turut menghadapi masalah kekurangan buku teks dan bahan rujukan Bahasa Iban.

“Saya memohon kerjasama DBP membantu kita mengatasi masalah tersebut iaitu memperbanyak pengedaran buku-buku teks dan bahan rujukan Bahasa Iban ke sekolah-sekolah.

“Ini bagi memudahkan para pelajar dan murid sekolah belajar dengan lebih berkesan dan mendapat bahan secukupnya,” jelas beliau yang juga penaung SIWA.

Sementara itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPM kerana mengiktiraf Bahasa Iban di peringkat tinggi dalam sukatan pelajaran di negeri ini.

Bercakap mengenai bengkel itu, Mauh berkata ia dapat memantapkan serta memperkasa penulisan para peserta terlibat.

Jelasnya, bengkel itu amat sesuai diadakan memandangkan Bahasa Iban sedang membangun dan memerlukan penulis bagi memperbanyak bahan bacaan tersebut.

“Sekarang sudah tiba masanya, penulis-penulis yang mempunyai bakat tampil ke hadapan membantu kita mengangkat martabat Bahasa Iban sekali gus memperbanyak bahan bacaan.

“Ini penting bagi mempertahan bahasa kita untuk generasi akan datang,” tambahnya.

Pada majlis itu, Mauh mengumumkan geran berjumlah RM5,000 untuk SIWA bagi kegunaan aktiviti mereka serta menyampaikan sijil tamat bengkel kepada peserta terlibat.