Jangan benarkan ekstremis masuk Sarawak

0

MIRI: Jangan membenarkan golongan pelampau agama dan politik dari luar meracuni pemikiran rakyat negeri ini.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau Datuk Sebastian Ting bimbang perpaduan kaum yang menjadi kebanggaan rakyat negeri ini goyah kerana dipengaruhi unsur-unsur fahaman asing.

“Kita tidak harus membenarkan ekstremis, pandangan ekstrem masuk ke negeri ini, masuk ke dalam masyarakat kita,” katanya ketika ditemui semasa mengunjungi rumah terbuka Leonard Fong di sini petang semalam.

Beliau ditemani rombongan SUPP yang turut mengadakan kunjungan ke beberapa kediaman rakan dan ahli-ahli SUPP sejak kelmarin.

Mengulas tentang amalan rumah terbuka, Ting berkata ia merupakan cara terbaik mengukuhkan hubungan antara penduduk pelbagai kaum.

Ketika mengunjungi kediaman rakan, penduduk memahami budaya dan tradisi kaum lain ketika meraikan hari perayaan.

Menyifatkan amalan sebagai cantik dan istimewa, Ting mahu ia diteruskan pada setiap musim perayaan dalam usaha mengukuhkan persahabatan antara kaum.

Katanya pembangunan negara akan lebih stabil dengan wujudnya suasana aman dan harmoni.

“Amat penting untuk kita berkomunikasi dan itu adalah cara terbaik.

“Malaysia dan khasnya Sarawak beruntung kerana mempunyai banyak etnik.

“Amalan rumah terbuka telah lama kita lakukan dan ia harus diteruskan,” tambah beliau.

Aktiviti rumah terbuka diraikan sejak Khamis lalu untuk memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).

Wakil rakyat dan orang kenamaan di sini mengambil peluang menemui penduduk termasuk rakan dan saudara mengunjungi kediaman mereka.

Ting turut mengadakan rumah terbuka pada hari kedua TBC, Jumaat lalu di kediamannya di Tanjong Lobang yang dihadiri ribuan penduduk pelbagai kaum di sini.

Turut mengadakan rumah terbuka pada Jumaat lalu Menteri Muda Perhubungan dan ADUN Senadin Datuk Lee Kim Shin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai.