Chain 1 ungguli saingan Dart Tertutup Kuching 2015

0

KUCHING: Kejohanan Dart Tertutup Kuching 2015 yang julung kali diadakan menyaksikan pasukan Chain 1 muncul juara kategori beregu yang berlangsung di Plaza Astana di sini petang kelmarin.

Dengan kemenangan itu, Chain 1 diwakili Rosli Mizan dan Johari Piee membawa pulang wang tunai RM700 dan trofi.

Pasangan Abang Mohd Jusri dan Khairul Ezman yang mewakili LANDAS 1st Project membawa pulang wang tunai RM300 dan trofi.

Tempat ketiga bersama menjadi milik Rodin dan Safri Darters sekaligus memenangi wang tunai RM150 dan trofi.

Kategori perseorangan menyaksikan Mahruddin membawa pulang wang tunai RM400 dan trofi.

Sekali pemenang tempat kedua, Jumadi Suhaili memenangi wang tunai RM200 dan trofi manakala wang tunai RM100 dan trofi menjadi milik Raet Nuup selaku pemenang tempat ketiga.

Kejohanan anjuran Persatuan Dart Bahagian Kuching berlangsung dari 20 hingga 22 Februari lalu.

Presiden Persatuan Dart Bahagian Kuching, Adam Sulaiman berkata sambutan kejohanan itu di luar jangkaan kerana pihaknya hanya mensasarkan 50 penyertaan.

“Sebanyak 59 penyertaan diterima untuk kategori perseorangan manakala 62 pasukan menyertai kategori beregu,” katanya.

Berdasarkan sambutan luar jangkaan yang diterima kejohanan itu mungkin akan diadakan secara tahunan.

Tambahnya, setakat ini terdapat 150 ahli persatuan dan pihaknya akan terus giat mendaftarkan ahli-ahli baharu.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Penaung Persatuan Dart Kuching, Fazzarudin Abdul Rahman.