Penjenayah tegar ditahan

1

Oleh Rosemaria Buma //

Polis percaya dapat selesai beberapa kes pecah rumah dengan penangkapan bekas banduan, rampas barang bernilai RM200,000 termasuk BMW 3 Series

PERKAKAS: Stanley (kiri) menunjukkan pemotong besi digunakan suspek untuk melakukan pecah rumah dan curi.

MIRI: Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi yang dilaporkan berlaku di sekitar Taman Tunku dan Taman Jelita di sini dengan penangkapan seorang bekas banduan dan merampas pelbagai barang curi bernilai lebih RM200,000 termasuk sebuah kereta mewah jenis BMW 3 Series.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit berkata suspek berusia lingkungan 30-an ditangkap sekitar jam 11.15 malam, Jumaat lalu iaitu kurang 24 tahun setelah adik pengadu membuat laporan polis berhubung kehilangan kereta BMW tersebut.

“Syabas saya ucapkan kepada anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) atas kejayaan mereka memberkas suspek terbabit dalam masa kurang 24 jam selepas laporan polis dibuat berhubung kes tersebut.

“Justeru dengan penangkapan suspek yang turut mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau termasuk memiliki dadah dan curi kenderaan serta pernah dipenjarakan pada 2010, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di kawasan perumahan Taman Tunku, Taman Delight dan Taman Jelita di sini,” katanya pada sidang media di sini petang semalam.

Hadir sama pegawai penyiasat Sub-Inspektor Musa Yahya dan Sarjan Mohd Sani Mohd Noor serta anggota JSJ.

Dalam pada itu, Stanley tidak menolak kemungkinan barang curi termasuk kenderaan dijual di pasaran tempatan di sini.

“Biasanya, kalau seseorang itu kaki curi kenderaan pasti dia tahu bagaimana cara untuk melupuskannya termasuk dijual selain untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Dalam kes terbaharu dilaporkan berlaku pada 20 Februari lalu, suspek telah memecah masuk sebuah rumah di Taman Jelita dan melarikan sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

BAHAN BUKTI: Pelbagai perkakas pecah rumah dirampas polis dari kenderaan suspek untuk dijadikan barang kes.

Menurut Stanley, semasa memecah masuk rumah itu suspek mengambil kesempatan melarikan kereta tersebut menggunakan kunci kereta berkenaan yang ditinggalkan pengadu di ruang tamu rumahnya.

Kecurian itu hanya disedari oleh adik pengadu yang datang ke rumah berkenaan pada pagi Jumaat untuk memberi anjing pengadu makan.

Semasa ditangkap, polis turut merampas pelbagai barang curi termasuk sebuah televisyen skrin leper, lapan unit telefon bimbit, dua jam tangan berjenama, beberapa unit komputer riba, dua plastik berisi abjad dan nombor kereta serta perkakas pecah rumah yang disimpan di dalam keretanya.

“Sehari selepas tangkapan, suspek kemudian memandu arah polis ke sebuah kawasan ladang sawit di Batu Niah untuk merampas kereta BMW yang disembunyikannya di situ.

“Semasa rampasan dibuat, polis mendapati nombor plat kereta itu telah ditukar dengan nombor plat palsu Brunei yang merupakan milik sebuah kereta jenis sama di Brunei,” katanya sambil memberitahu suspek tinggal di kawasan sama dan ini memudahkannya memantau pergerakan pemilik rumah di kawasan terbabit.

Suspek kini direman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

AMBIL KESEMPATAN: Stanley (tengah) menunjukkan kunci kereta BMW yang dirampas daripada suspek.