Ekspedisi Jelajah Bermotosikal ke Sabah sempena Hari Polis

0

BERSEDIA: Stanley (berdiri lima kanan) bersama peserta konvoi selepas pelancaran Ekspedisi Jelajah Bermotosikal ke Sabah di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri di Miri, semalam.

MIRI: Seramai 19 peserta termasuk lima wakil orang awam mengambil bahagian dalam Ekspedisi Jelajah Bermotosikal ke Sabah anjuran Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri bermula 27 Februari ini.

Timbalan Ketua Polis Miri, Chief Supt Stanley Jonathan Ringgit berkata, konvoi itu melibatkan 10 pegawai polis pelbagai jabatan dan lima orang awam.

“Ekspedisi ini bertujuan memperingati Hari Polis Ke-208 yang disertai 16 motosikal berkuasa tinggi dan dua kenderaan pacuan empat roda sebagai kenderaan sokongan. Ia dikendali empat pegawai dan 10 anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

“Kita juga membawa lima orang awam sebagai gambaran polis dan orang awam erat bekerjasama, seperti aur dan tebing. Ini kerana tanpa kerjasama orang awam, siapalah PDRM,” katanya berucap selepas pelancaran Ekspedisi Jelajah Bermotosikal ke Sabah di IPD Miri semalam.

Tambahnya, apa yang penting, peserta ekspedisi dapat mengenali sesama sendiri dan mengukuh semangat kerjasama antara satu sama lain.

Ekspedisi itu dijangka berlepas pada jam 7 pagi, 27 Februari dari Miri menuju ke Keningau, Sandakan, Kudat, Kota Kinabalu dan sampai di Miri pada 3 Mac jam 9 malam.

Beliau berharap ekspedisi tersebut berjalan lancar dan dapat diteruskan pada masa akan datang.