Penggunaan teknologi makanan diperluas

0

Oleh Mastura Ismail//

 

DIPERLUAS: Julaihi (enam kiri) bersama-sama Selamat (lima kiri) dan Paulus bergambar bersama peserta Kursus Teknologi Pemprosesan Makanan di Batu Danau semalam.

LIMBANG: Kementerian Pembangunan Perindustrian (KPP) Sarawak akan memperluas penggunaan teknologi makanan untuk memperkasa industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutama kepada penduduk luar bandar bagi merealisasi impian menjadi rakyat berpendapatan tinggi.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi berkata, sebelum ini pelaksanaan penggunaan teknologi makanan hanya dilaksana di bandar besar seperti Kuching dan memberi manfaat kepada golongan minoriti sahaja.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar menjelaskan pendekatan pergi ke luar bandar akan menggalak rakyat mendapat faedah pelaburan melalui kursus teknologi.

“Apabila kita memperluas promosi teknologi makanan, rakyat terutama di pedalaman dapat melihat peluang bagi mengorak langkah awal dalam bidang perniagaan. Pada masa sama, ia akan mencapai perkongsian teknologi seluruh Sarawak termasuk masyarakat di pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Kursus Teknologi Pemprosesan Makanan, Snek Bergoreng dan Hasilan Sos di Dewan Batu Danau di sini, semalam.

Turut sama ialah ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Pembangunan Selamat Jati Yanjah, Pegawai KPP Sarawak Atiqah Dolhan dan Pegawai Penyelidik MARDI Sarawak Suzalyna Mos.

Julaihi berkata lagi, kerajaan akan terus memain peranan penting dalam pertumbuhan PKS yang merupakan satu daripada industri utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya lagi, PKS mempunyai kekuatan jika dikembang di kawasan luar bandar kerana sumber bahan mentah sedia ada di kawasan terbabit.

“Oleh itu kerajaan merancang untuk mempercepat pertumbuhan serta melonjakkan PKS ke tahap lebih tinggi,”ujarnya,

Tambahnya, PKS tidak lagi dilihat sebagai penggerak pertumbuhan seperti masa lalu tetapi menjadi pemacu pertumbuhan selain menjadi penyumbang penting dalam memacu perkembangan ekonomi negara.

“Pentingnya untuk melihat sumbangan PK di negeri ini agar ia dipupuk, selain mengalak rakyat terlibat sama,”katanya sambil menambah, PKS mempunyai peluang cerah dibangunkan di pedalaman.

Jelasnya, peserta harus mempunyai semangat tinggi untuk membangunkan PKS kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kewangan dalam bentuk geran, pinjaman kewangan, agensi di bawah KPP dan pelbagai bantuan lain.

Julaihi menegaskan, peserta PKS akan dibimbing untuk mengukuh perniagaan masing-masing, membina kapasiti serta keupayaan bagi memudahkan mendapat akses kepada pembiayaan kewangan.

“Ini semua membuktikan komitmen kerajaan yang sentiasa memberi sokongan kepada pengusaha dan masyarakat niaga. Pelbagai inisiatif serta program telah diperkenal dan ia tidak mendatangkan faedah jika tidak dimanfaat pengusaha tempatan,”katanya lagi.

Beliau berkata lagi pegawai KPP akan membuat pemantauan dan tindakan susulan kepada peserta kursus agar mereka benar-benar berminat untuk memulakan perniagaan.

“Peluang pasaran terbuka luas terutama kepada peserta di Limbang kerana kedudukan bersebelahan dengan negara Brunei, Labuan dan Sabah, “ujarnya lagi.

Pada majlis itu hampir 100 peserta menyertai kursus terbabit yang dijalankan melalui kaedah pembelajaran secara praktikal.