Anak didik Johnny kalah lagi

0

Oleh Harry Ilias //

Sarawak tewas 2-1 di tangan Terengganu pada aksi Piala Presiden di laman sendiri semalam

TERUS BUNTU: Pemain Terengganu mengekang pergerakan pemain Sarawak pada perlawanan Piala Presiden di Stadium Negeri semalam.

KUCHING: Skuad Piala Presiden Sarawak terus diselubungi duka apabila tewas 1-2 di tangan Terengganu pada perlawanan Piala Presiden 2015 yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam.

Meskipun tampil dengan corak permainan pantas di awal saingan, anak-anak buah Johnny Dominicus gagal memecah kebuntuan kerana dibayangi kehebatan pertahanan pelawat.

Sebaliknya Terengganu banyak mendominasi permainan dan melancar gerakan- gerakan berbahaya ke kubu tuan rumah.

Gol pertama skuad Penyu hadir pada minit ke-27 hasil rembatan dari jarak jauh Syed Sobri.

Mereka menambah derita Sarawak dengan tandukan Ahmad Faizol pada minit ke- 34 untuk selesa di hadapan dengan 2-0.

Bagaimanapun, kredit kepada pemain Sarawak tidak panik dengan situasi itu dan bangkit melancarkan serangan berbahaya.

Usaha tuan rumah berhasil apabila Nor Azizi Ramlee berjaya merapatkan jurang setelah rembatan kencangnya terbias pertahanan lawan dan menerjah ke gawang Terngganu pada minit ke-38.

Kedudukan itu kekal hingga tamat masa perlawanan meskipun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha menambah jaringan.

“Pemain beraksi dengan baik dan berpeluang untuk menjaringkan gol. Cuma kita tidak bernasib baik untuk mencipta jaringan yang dicari,” kata Johnny ketika mengulas persembahan pemainnya.

Menurut Johnny, dua peluang terbaik dimiliki penyerangnya, Abdul Rahim Abdul Razak yang hanya berdepan penjaga gol gagal menembusi gawang pelawat.

“Mungkin masalah ini perlu diberi perhatian selepas ini kerana secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan peningkatan persembahan para pemain,” tambah Johnny.

Katanya, beliau akan menggunakan tempoh rehat seminggu ini untuk memperkemas jentera pasukannya sebagai persediaan menghadapi Selangor di Stadium Mini Kuala Selangor (4 Mac depan).