Asajaya perlukan Skim Pembesaran Kampung: Karim

0

ASAJAYA: Skim Pembesaran Kampung di daerah ini sangat diperlukan dan penting dalam usaha meneruskan pembangunan semakin pesat, kata Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Jelasnya, pada masa kini, generasi muda lebih memilih tinggal berdekatan keluarga di kampung halaman meskipun terpaksa berulang-alik ke bandar raya Kuching untuk mencari rezeki.

“Sekiranya mereka memang berhasrat untuk tinggal di Asajaya, mereka memerlu-kan ruang dan kawasan membina rumah sendiri.

“Kita tidak menggalak mereka membina rumah sedia ada di kampung tradisi yang juga merupakan milik keluarga. Sebaliknya membina rumah lain berdekatan kediaman ibu bapa masing-masing.

“Ini antara sebab kenapa Skim Pembesaran Kampung sangat penting untuk penduduk selain mengelak kesesakan dan kepadatan penduduk kampung,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Surat Hak Milik Tanah Kampung Tradisi dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di Kompleks Sukan Asajaya, di sini, semalam.

Beliau menambah, skim itu membantu memenuhi keperluan penduduk kampung di Asajaya selain berharap lebih banyak kampung di sekitarnya akan terlibat dalam skim berkenaan.

“Kerajaan memperkenal skim yang bertujuan memberi manfaat kepada penduduk kampung. Pada masa sama menggalakkan anak supaya dapat tinggal berhampiran orang tua masing-masing.

“Justeru, besar harapan supaya Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dapat mempertimbang skim ini untuk dua kampung lain yang membabitkan Kampung Sambir dan Kampung Tambirat Fasa Dua, kampung terbesar di daerah Asajaya,” jelasnya.