Bekas suami isteri amuk abang selepas ditegur bersekedudukan

0

KUCHING: Berang kerana ditegur bersekedudukan tanpa ikatan yang sah menyebabkan bekas suami isteri didakwa mengamuk di rumah abang kandung sendiri di Jalan Tan Sri Abang Ikhwan, Semariang kelmarin.

Menurut sumber, pasangan terbabit tiba di rumah abang kepada si isteri pada jam 11.50 malam dan mula mengamuk dengan turut merosakkan barang sehingga mencetuskan pergaduhan di antara mereka.

“Pasangan berkenaan dikatakan telah bercerai, namun masih tinggal bersama menyebabkan abang kepada si isteri menegur mereka sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati.

“Ekoran itu, pasangan terbabit telah pergi ke rumah abang kepada si isteri itu dan membuat kacau menyebabkan berlaku pergaduhan di antara mereka sebelum berjaya dileraikan oleh ahli keluarga yang lain,” kata sumber.

Kesemua mereka dikatakan masing-masing mengalami kecederaan ringan dan telah membuat laporan berhubung kejadian di balai polis berhampiran untuk mempertahankan diri.

Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian dan punca sebenar kejadian juga masih belum dapat dipastikan.