Rakyat harus amal budaya saling mengunjungi: Nyalau

0

ENGKILILI: Penduduk berbilang kaum di sini diharap dapat mengamalkan budaya saling mengunjungi sempena pelbagai perayaan disambut di negeri ini.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Datuk William Nyalau Badak berkata, budaya seperti ini akan membantu menjadikan Malaysia negara maju pada masa akan datang.

Nyalau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo semasa berkunjung ke rumah kediaman Ah Han di Pekan Engkilili, di sini, semalam.

Turut hadir dalam kunjungan itu rakan rapatnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa dan Setiuasaha Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) Bilong Engkas.

Ah Han merupakan anak jati Engkilili, salah seorang ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang baharu dilantik menjadi Kaunselor Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA). Dalam pada itu, Dr Rayong menyampaikan cek peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) kepada Ah Han untuk kegunaan Kelab Sukarela Bomba dan Penyelamat Engkilili melakukan aktiviti sepanjang tahun ini.

Selain itu, Nyalau juga mahu penduduk sedar bahawa keamanan yang dikecapi pada masa sekarang kerana kebijaksanaan pemimpin dalam menyatupadukan rakyat selama ini.

“Saya berharap agar lebih banyak persatuan turun padang bagi menjayakan pelaksanaan program perpaduan di kawasan masing-masing,” katanya.