Setuju istilah ‘Dayak’

0

Oleh Jessica Jawing //

Adenan tiada bantahan ‘Dayak’ ganti ‘lain-lain’ jika ia dimahukan oleh semua pihak

CERIA: Adenan Satem diraikan sebagai tetamu khas pada rancangan khas ‘Bersama Ketua Menteri Sarawak’ malam tadi.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menegaskan beliau bersetuju dengan cadangan agar istilah ‘Dayak’ menggantikan ‘lain-lain’ jika ia dimahukan oleh semua pihak.

Menurutnya, ia adalah hak mereka untuk mencadangkan perkara berkenaan dan beliau tidak mempunyai sebarang bantahan mengenainya.

Kata Adenan, sebelum ini beliau pernah mencadangkan agar ruang ‘lain-lain’ itu digantikan dengan Bumiputera Iban, Bumiputera Bidayuh dan Bumiputera Orang Ulu.

“Bagaimanapun masih ada beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan saya itu dan tetap mahukan ia hanya satu iaitu ‘Dayak.’

“Pada saya ia terpulang kepada mereka dan saya tidak ada bantahan mengenainya. Tambahan ‘Dayak’ merangkumi semuanya dan saya bersetuju jika mereka mahu menggunakan ‘Dayak’,” katanya.

Adenan memberitahu, malahan satu jawatankuasa khas turut ditubuhkan mengenai perkara berkenaan yang dianggotai oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

Beliau berkata demikian pada wawancara ‘Bersama Ketua Menteri Sarawak’ malam tadi iaitu inisiatif Seksyen TV RTM Kuching sebagai meraikan setahun pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri.

Ditanya mengenai dasar pembangunan yang dibawakan oleh beliau semenjak menjadi Ketua Menteri, Adenan menegaskan antara perkara pertama dilakukan adalah untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.

Jelasnya ia merupakan satu perkara penting di mana kerajaan negeri memberi peruntukan lebih tinggi dalam perkara berkenaan iaitu dari segi pembinaan jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air kepada masyarakat luar bandar.

“Selain itu antara langkah pertama kita juga adalah dengan mengurangkan tarif elektrik domestik sehingga 40 peratus untuk meringankan beban rakyat kita.

“Kita telah membina banyak empangan hidroelektrik dengan mengenakan tarif elektrik istimewa kepada pelabur asing, bagaimanapun kenapa tidak kita memberi keistimewaan itu kepada rakyat kita sendiri,” tegasnya.

Pada sesi wawancara selama sejam bermula dari jam 9 malam hingga 10 malam tadi, Adenan sekali lagi menegaskan pendirian Sarawak untuk menyekat kemasukan ekstremis ke negeri ini.

Mengulas mengenai kenyataan daripada pembangkang yang mengakui dasar atau polisi olehnya, Adenan berkata: “Jika mereka mahu sertai kami (Barisan Nasional).”