1MET Boot Camp akan diperluas ke beberapa bandar di Sarawak

0

TERBAIK: Irwan bergambar bersama salah satu kumpulan yang menyertai 1MET Boot Camp.

KUCHING: Program 1Malaysia Entrepreneur Bootcamp (1MET Boot Camp) akan diperluas ke beberapa bandar utama di negeri ini selepas penganjuran julung kalinya di sini semalam mendapat sambutan amat menggalakkan daripada peserta.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah berkata pihaknnya akan mempertimbang menganjurkan 1MET Boot Camp di Miri dan Bintulu pada masa akan datang.

Menurutnya ia bertujuan memberi peluang kepada lepasan sekolah atau universiti di kawasan luar bandar Sarawak yang berminat menceburi bidang keusahawanan mengembang potensi serta idea mereka.

“Hari ini (semalam) di Kuching sambutan yang kita terima sangat menggalakkan. Kita menyasarkan 500 orang peserta tetapi yang hadir semalam ialah hampir 1,000 orang.

“Ekoran itu , kita akan menganjur satu atau dua lagi program serupa.

“Kita akan mencari lokasi sesuai. Dengan itu penduduk di kawasan luar bandar diberi peluang terlibat dalam program ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pelancaran 1MET Boot Camp 3.0 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching.

Ia merupakan pelancaran pertama 1MET Boot Camp Malaysia dan Kuching dipilih sempena perasmian UTC Kuching.

Beliau berkata Boot Camp yang berlangsung selama dua hari itu bermula semalam merupakan kaedah atau cara dunia moden melatih usahawan muda selain program intensif jangka pendek dan inkubator.

Dalam program itu kata-nya, para peserta akan diberi bimbingan, garis panduan dan idea asas keusahawanan oleh pelatih yang terdiri daripada golongan profesional dan usahawan berjaya dalam bidang masing-masing sebagai mentor.

“Saya tidak bermaksud Boot Camp dua hari ini akan melahirkan seorang usahawan yang bagus tetapi ini adalah permulaan baik, memberi peserta idea asas perniagaan.

“Semua peserta program itu di seluruh negara akan disenaraikan dalam satu pangkalan data bagi membolehkan pemantauan dilakukan dan (mereka) dihubungi bagi mengetahui sama ada benar-benar berminat menjadi usahawan,” katanya.

Menurutnya peserta yang mempunyai idea bagus, bernas dan berpotensi dikembang-kan akan dipilih mengikuti latihan lanjutan di Kuala Lumpur.

Mereka juga katanya, akan didedah kepada pelabur-palabur antarabangsa dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tempatan yang berminat membeli idea, penemuan atau produk dihasilkan.

“Kita tidak hanya menyasar perkara ini di Malaysia tetapi kita mahu menarik minat semua usahawan muda dari negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan sebagainya.

“Kita perlu memikirkan masa depan, 20 tahun akan datang dengan memberi penekanan kepada penghasilan teknologi baharu.

“Lembah Silikon di Amerika Syarikat harus dijadikan rujukan untuk kita mewujudkan pusat industri teknologi dunia,” katanya.

Sementara itu dalam ucapan aluannya, Irwan mahu peserta program memfokus kepada usaha dan menghasilkan produk berkualiti dengan nilai tambah tinggi dengan penggunaan teknologi tinggi.

Sebagai contoh katanya, idea menggabungkan hasil kraf antara Sarawak dengan Indonesia menggunakan teknologi tinggi amat berpotensi menembusi pasaran global.

“Ini hanya boleh dilakukan jika ada perkongsian idea antara usahawan muda kita dengan negara jiran, Indonesia misalnya,” tambahnya.