Bekerjasama bangun rakyat S’wak yang berkeupayaan

0

Oleh Agnes Tugong//

 

METERAI: Abu Bakar (dua kiri) dan Chok (dua kanan) menandatangani MoU antara Yayasan Sarawak dan Sarawak Shell sambil disaksikan Dr Halta (kiri) dan Jonathan (kanan) di Kuching semalam.

KUCHING: Sarawak Shell Berhad (Sarawak Shell) semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Yayasan Sarawak bagi memperkukuhkan kerjasama dalam membangunkan rakyat Sarawak yang berkeupayaan terutama penerima biasiswa Yayasan Sarawak.

Berucap pada majlis MoU itu semalam, Pengurus Besar Sarawak Shell Chok Chee Tsong berkata, syarikat mengambil usaha proaktif terutama dalam mencari dan membangunkan bakat tempatan di kalangan rakyat Sarawak.

Sebagai operator yang bertanggungjawab, adalah menjadi tanggungjawab sosial koporat (CSR) syarikat untuk bekerjasama dalam kemajuan negeri dan negara.

“Shell menyokong visi pendidikan vokasional dan teknikal Sarawak dan keperluan untuk memperkukuhkan mereka dengan memperkenalkan ProjekLINK bagi membantu mengatasi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia.

“Bagi tujuan itu, syarikat telah melabur RM4.1 juta dalam melatih lebih daripada 800 pengimpal di Sarawak bagi tempoh 26 tahun ini dengan kerjasama Kolej Vokasional Miri,” katanya pada majlis yang berlangsung di Auditorium Yayasan Sarawak di sini semalam.

MoU itu ditandatangani antara Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Chok yang mewakili Sarawak Shell.

Majlis menandatangani MoU berkenaan disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sarawak Datu Dr Hatta Solhi dan Pengurus Kanan Shell Berhad Government Relations Jonathan Jelly.

Objektifnya adalah untuk memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan latihan di Shell yang sesuai dengan penerima biasiswa Yayasan Sarawak.

Inisiatif ini menurut Chok juga sebagai menyokong usaha Yayasan Sarawak dalam menyediakan tenaga kerja teknikal yang diperlukan oleh SCORE ke arah negeri maju menjelang 2030.

Sempena MoU itu, Sarawak Shell turut mengadakan ceramah kerjaya dan pameran peluang pekerjaan dalam industri minyak dan gas yang dihadiri lebih daripada 200 pelajar.

Sepanjang tempoh 40 tahun, Shell Malaysia telah melabur lebih daripada RM400 juta bagi tujuan biasiswa dalam membantu lebih 1,500 belia Malaysia termasuk Sarawak bagi melanjutkan ijazah di dalam dan luar negara.

Tahun ini, Shell akan terus menyediakan biasiswa dan kewangan kepada pelajar cemerlang bagi pengajian dalam dan luar negara.

Buat masa ini, Shell bekerjasama dengan Curtin dan Swinburne University di Sarawak bagi Program Duta Kampus inisiatif Shell.

Shell juga akan terus membangunkan rakyat Sarawak yang berkeupayaan dengan pembukaan Asia Pasific Wells Learning Hub di Miri pada 2013.